–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
AGENDANASIONAL

Azmin sokong saranan Tun M tadbir satu penggal

SHAH ALAM, 29 JULAI: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, mengalu-alukan kenyataan Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang untuk memberi dukungan penuh kepada Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal.

Katanya, pendirian itu seiring pandangan yang pernah dilontarkan sebelum ini supaya usaha mengembalikan kegemilangan negara dapat direalisasikan dengan segera.

“Dukungan bipartisan terhadap perdana menteri adalah lembaran baru dalam politik Malaysia dengan kepentingan rakyat diberikan keutamaan.

“Ini sudah ditampilkan dalam meluluskan pindaan Perlembagaan yang menurunkan had usia mengundi pilihan raya kepada 18 tahun.

“Sokongan itu adalah bukti keyakinan terhadap kepimpinan Tun Dr Mahathir yang berhemah tinggi sesuai dengan peranannya sebagai negarawan ulung negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mandat rakyat yang diterima Pakatan Harapan lebih setahun lalu memerlukan kestabilan demi melaksanakan reformasi institusi dan langkah positif untuk memulihkan ekonomi.

Mohamed Azmin berkata, kejayaan melaksana agenda serampang dua mata ini akan memberikan manfaat kepada semua rakyat tanpa mengira fahaman politik mereka.

“Sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, perbedaan politik akan tetap wujud, namun setiap perbezaan itu perlu diurus dengan baik demi menjamin kepentingan rakyat.

“Kepimpinan Tun Dr Mahathir diperlukan untuk menjamin kestabilan, kesinambungan dan ketuntasan (consistency) dasar Kerajaan bagi merangsang pelaburan, mencipta peluang pekerjaan serta kekayaan untuk semua.

“Saya yakin kestabilan politik akan menjana keutuhan dasar dan kebijakan negara termasuk konsep ‘shared prosperity’ yang bakal mengembalikan Malaysia sebagai Harimau Asia,” katanya.


Pengarang :