EXCOSELANGOR

Ekspresi Tari bawa kelainan Tarian Piring Selangor

SHAH ALAM, 29 JUL: Pertandingan Ekspresi Tari Selangor anjuran Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor (PADAT) membawa kelainan pada kali ini dengan menampilkan persembahan Tarian Piring Selangor yang diadakan di Teater Shah Alam di sini, semalam.

EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, Tarian Piring Selangor adalah warisan kebudayaan masyarakat Minangkabau yang dibawa Sumatera ke Pantai Barat Tanah Melayu bermula sekitar Abad ke-12 Masihi.

Katanya, di Selangor tarian itu mula berkembang di Jenderam Hilir, Sepang sekitar 1885 oleh masyarakat Minang yang merantau dari Sumatera.

“Berdasarkan kajian perbandingan, PADAT dapat mengenal pasti 22 gerak tari Tarian Piring Selangor yang membezakannya antara Negeri Sembilan, Perak, Pahang dan Terengganu.

“Malah, antara gerak tari tarian itu termasuklah Helang Menyongsong Angin, Helang Berlegar ke Depan, Lompat Gagak dan Tupai Bergelut.

“Hasil kajian itu juga bakal diterjemahkan di dalam buku terbitan PADAT bertajuk Tarian Piring Selangor yang akan dilancarkan tidak lama lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pertandingan Ekspresi Tari Selangor 2019 di sini, yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif PADAT, Dato’ Paiman Keromo.

Sementara itu, katanya, Tarian Piring Selangor itu menampilkan gerakan seolah-olah petani sedang bercucuk tanam dan menuai padi.

“Ia juga dikatakan sebagai satu bentuk hiburan selepas petani penat membanting tulang selain melambangkan rasa kegembiraan dan syukur dengan hasil tanaman mereka,” katanya.

Terdahulu, pertandingan Ekspresi Tari Selangor 2019 itu menampilkan 40 kumpulan kebudayaan berentap bagi merebut gelaran juara membabitkan peserta kategori sekolah rendah, sekolah menengah dan institut pengajian tinggi/terbuka.

Penganjuran pertandingan ini adalah inisiatif dan usaha Kerajaan Negeri bagi merakyatkan kebudayaan serta warisan Selangor, sekali gus menghidupkan Shah Alam sebagai Kota Seni.

FOTO: REMY ARIFIN (SELANGORKINI)


Pengarang :