PBT

Elak guna tempat letak kereta OKU

OLEH SHEEDA FATHIL

PETALING JAYA, 5 JULAI : Orang ramai dinasihat supaya tidak sewenangnya menggunakan kemudahan tempat letak kenderaan khas untuk Orang Kelainan Upaya (OKU) yang disediakan kerajaan.

Ahli Dewan Negeri Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin berkata, sebaliknya orang awam perlu bertimbang rasa dengan memberi keutamaan kepada golongan orang kurang upaya yang mempunyai pelekat OKU untuk meletak kenderaan.

“Kita harus elakkan diri daripada terus mencabul hak golongan OKU. Keutamaan seharusnya diberikan kepada mereka dan jangan kita sebagai orang normal dengan sengaja meletakkan kenderaan di petak parkir mereka.

“Kita perlu ubah mentaliti kononnya ‘daripada membiarkan parkir itu kosong lebih baik kita parkir’, kerana pada masa kini kebanyakan OKU sudah mempunyai kenderaan sendiri jadi golongan itu perlukan hak mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan dua tempat letak kenderaan OKU di hadapan bangunan Persatuan Dialisis Kurnia, di sini, hari ini.

Sementara itu, Jamaliah berkata, pihak berkuasa tidak akan teragak-agak untuk menyaman mereka yang sesuka hati meletakkan kenderaan di petak parkir OKU.

Manakala, katanya, orang ramai yang menepati syarat juga boleh memohon pelekat kenderaan OKU menerusi Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

“Saya berharap selepas ini tiada lagi individu yang sesuka hati meletakkan kenderaan di petak parkir OKU sekali gus bersama kita menghormati hak mereka,” katanya.


Pengarang :