AGENDANASIONAL

FAMA susun formula operasi Agrobazaar di Singapura

SINGAPURA, 26 JUL : Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyerahkan kepada kebijaksanaan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi menyusun semula operasi Agrobazaar Malaysia di Singapura.

“Saya rasa terpulang kepada FAMA untuk membuat susunan yang terkini,” kata menterinya, Datuk Salahuddin Ayub kepada wartawan selepas melancarkan Malaysia Fest 2019 di sini hari ini.

Turut hadir adalah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura Datuk Zainol Rahim Zainuddin serta Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mohd Sallehuddin Hassan.

Model perniagaan Agrobazaar Malaysia, yang terletak di Sultan Gate telah diubah dengan menyaksikan peranannya sebagai pusat perkhidmatan pengurusan logistik dan pengimportan produk tempatan ke Singapura dihentikan.

Menurut Salahuddin, kos operasi di sini perlu diambilkira dari masa ke semasa tetapi jika produk tempatan terus mendapat sambutan mungkin ada keperluan bagi menghidupkan semula peranan Agrobazaar Malaysia di pulau itu.

Agrobazaar Malaysia di Singapura mampu menempatkan lebih 1,000 unit menyimpan stok (SKU) keluaran usahawan kecil dan sederhana pada satu satu masa.

Mengulas lanjut, Pengerusi FAMA Ishak Ismail menjelaskan Agrobazaar Malaysia di republik berkenaan tidak ditutup tetapi model perniagaannya diubah untuk terus kekal dinamik.

“Buat masa ini, kita mempunyai rangkaian pengedaran yang mencukupi. Kita pindahkan tanggungjawab itu kepada pengedar kita. Kita teruskan pusat pengumpulan kita di Johor,” katanya kepada Bernama.

Namun, Ishak berkata FAMA akan memastikan kehadiran produk usahawan tempatan terus dirasai di Singapura.

“Kita akan teruskan sampai satu keadaan di mana kita perlu tonjolkan produk kita dalam bentuk yang lebih terserlah.

“Kita akan jalankan lebih banyak program susulan dan lebih mensasar selepas ini,” katanya.

Ishak tidak menolak kemungkinan untuk bekerjasama dengan rakan strategik di republik tersebut bagi mengembalikan peranan Agrobazaar Malaysia pada waktu yang sesuai.

Buat sementara waktu, FAMA akan terus memperkasakan jualan produk usahawan tempatan menerusi Agrobazaar dalam talian dan akan memastikan penduduk Singapura turut dapat membuat tempahan di situ.

FAMA pada 2017 pernah menggariskan tujuh strategi dalam model baharu Agrobazaar Malaysia bagi meningkatkan jualan produknya dalam pasaran Singapura.

Tujuh strategi itu merangkumi penganjuran Pameran Produk Halal Malaysia, menjadikan Agrobazaar Malaysia sebagai pengedar produk industri asas tani, pusat promosi sajian popular Malaysia dan agro pelancongan Malaysia.

Sebanyak tiga lagi strategi digariskan dalam menjadikannya sebagai perkhidmatan pengurusan logistik serta pengimportan, perundingan dan penyaluran maklumat pasaran Singapura termasuk sebagai lokasi dan pengaturan acara untuk Malaysia di Singapura.

Pusat sehenti bagi produk halal Malaysia itu telah dilancarkan lima tahun lepas. -BERNAMA


Pengarang :