Selangorkini
AGENDA NASIONAL

Hakim Mahkamah Sesyen Selangor ditahan SPRM

KUALA LUMPUR, 22 JUL: Seorang hakim Mahkamah Sesyen di Selangor ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini bagi membantu siasatan berkaitan kes pendatang tanpa izin.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya mengesahkan penahanan itu dan berkata, hakim itu ditahan petang ini bagi membantu siasatan kes pendatang tanpa izin yang ditahan bagi tujuan pelepasan setelah dibayar.

Beliau berkata, tangkapan itu turut mempunyai kaitan dengan penahanan seorang peguam dan timbalan pendakwa raya (DPP) serta beberapa anggota polis baru-baru ini.

“Sejumlah wang turut dirampas semasa tangkapan dibuat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu, reman terhadap seorang peguam dan seorang timbalan pendakwa raya yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam rasuah membabitkan pendatang tanpa izin dilanjutkan selama dua hari dan akan berakhir esok.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi), Datuk Seri Azam Baki berkata, enam anggota polis yang sebelum ini direman untuk membantu siasatan, dibebaskan hari ini.

Minggu lepas, enam anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor dan masing-masing seorang DPP dan peguam ditahan SPRM bagi membantu siasatan kes itu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, DSP Azman Ab Rahman ketika dihubungi mengesahkan penahanan anggota polis terbabit dan berkata, kesemua anggota itu ditahan pada Rabu bagi membantu siasatan berkaitan pembebasan 15 pendatang tanpa izin. – BERNAMA


Pengarang :