NASIONAL

Jumlah mangsa banjir kilat di Melaka berkurangan, tiga PPS ditutup

MELAKA, 8 JUL: Jumlah mangsa banjir kilat di Melaka sehingga pukul 12.00 tengah hari pada hari kedua mengalami pengurangan kepada 1,117 mangsa melibatkan 250 buah keluarga berbanding 1,391 mangsa dari 318 buah keluarga pagi ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Lt Kol (PA) Effendy Ali berkata, tiga buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang ditutup ialah PPS Balai Raya Gadek, PPS Masjid Al-Rasyidin dan PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pengkalan, masing-masing ditutup pada pukul 10.00 pagi ini.

“Hanya sebuah PPS mencatat penambahan mangsa banjir iaitu 298 mangsa melibatkan 73 buah keluarga masih bertuduh di PPS Taman Merdeka,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Effendy, yang juga Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka berkata, bilangan mangsa banjir di enam PPS tidak berubah iaitu PPS Sekolah Krubong, PPS Balai Raya Bukit Balai, PPS Balai Raya Pancor, Balai Raya Bukit Tambun, PPS Sekolah Kebangsaan Belimbing Dalam, PPS Balai Raya Kampung Beringin dan PPS Sungai Tuang. – BERNAMA


Pengarang :