AGENDASUKANKINI

KBS lulus permohonan naik taraf kompleks sukan MPSP

BUKIT MERTAJAM, 21 JULAI: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menaik taraf dan membaiki balapan serta stadium di Kompleks Sukan dan Rekreasi Majlis Perbandaraan Seberang Perai (MPSP) di Jalan Betek, di sini ekoran tempat itu antara tumpuan orang ramai bersukan dan beriadah.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, kementeriannya menunggu permohonan lengkap berhubung kerja naik taraf serta baik pulih itu, sebelum menentukan jumlah peruntukan yang akan disalurkan.

“Saya lihat hari ini ramai orang hadir sempena Program Fit Malaysia di sini (Kompleks Sukan dan Rekreasi MPSP) dan menurut Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong yang juga Timbalan Menteri KBS, tempat ini memang selalu menjadi tumpuan orang ramai beriadah serta bersukan.

“Sebab itu Yang Berhormat Sim minta KBS naik taraf serta baik pulih balapan dan stadium. Jadi, hari ini saya umumkan permohonan terbabit diluluskan. Ini kawasan (Parlimen) timbalan menteri saya, jadi kita perlu bagi perhatian khusus,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Fit Malaysia Zon Utara di Kompleks Sukan dan Rekreasi MPSP, di sini hari ini.

Turut hadir, Sim, Ketua Setiausaha KBS Dr S.Waitchalla, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri Soon Lip Chee dan barisan pemimpin Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Kira-kira 25,000 orang menyertai program Fit Malaysia anjuran KBS yang berteraskan matlamat merakyatkan sukan semua peringkat akar umbi, serta membudayakan sukan bagi kesejahteraan serta kesepaduan negara.

Sementara itu, Syed Saddiq berkata sambutan program itu di Pulau Pinang sangat baik, malah menerima penyertaan tertinggi setakat ini dan ia sesuatu yang membanggakan.

Beliau berkata Pulau Pinang merupakan lokasi ketiga penganjuran program Fit Malaysia selepas Selangor bagi Zon Tengah dan Terengganu (Zon Pantai Timur) yang sebelum ini dihadiri kira-kira 17,600 orang.

“Saya berbangga dan gembira melihat semangat kesukanan yang ditunjukkan rakyat berbilang kaum di negeri ini. Ketika saya sampai pagi tadi masih ramai lagi peserta masih berdaftar untuk menyertai Fit Malaysia malah ada peserta berusia lebih 80 tahun masih lagi kuat, datang menunjukkan sokongan.

“Pihak kementerian berharap rakyat akan terus membudayakan amalan bersukan ini untuk edisi jelajah akan datang, yang akan kita adakan di Johor bagi Zon Selatan dan Sabah (Zon Timur Malaysia) tidak lama lagi,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :