NASIONAL

Kematian wanita masalah jantung, bukan insiden pencemaran

KUALA LUMPUR, 7 JUL: Kementerian Kesihatan hari ini menegaskan bahawa punca kematian seorang wanita yang dilaporkan meninggal dunia di Johor Bahru adalah berpunca daripada masalah jantung dan bukannya insiden pencemaran di Pasir Gudang, Johor.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, wanita itu penghidap penyakit kronik terutama penyakit hipertensi (darah tinggi) selama 10 tahun itu dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail Johor Bahru pada 5 Julai kerana mengalami kesukaran bernafas, batuk selama tiga hari, bengkak di bahagian kaki dan demam selama sehari.

“Berdasarkan presentasi klinikal, gejala yang dialami serta hasil pemeriksaan berkaitan menunjukkan beliau mengalami kegagalan jantung dan fungsi jantung yang merudum akibat masalah kesihatan yang kronik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya lagi, pemeriksaan mendapati arwah berada dalam keadaan akut iaitu tekanan darah dan kadar pernafasan yang tinggi (sesak nafas).

Kenyataan itu merujuk mengenai isu tular dalam media sosial semalam yang melaporkan “masalah sesak nafas beberapa hari lepas akibat pencemaran udara membawa kepada terkorbannya seorang ibu”.

“Pasukan perubatan berusaha sedaya upaya merawat arwah namun keadaan kesihatan beliau semakin serius sehingga disahkan meninggal dunia pada 6 Julai yang diklasifikasikan sebagai ‘decompensated heart failure’.

“Semakan laporan sedia ada di Hospital Sultan Ismail mendapati bahawa tiada rekod melaporkan arwah pernah mendapatkan rawatan semasa kejadian di Sungai Kim Kim atau sejak 20 Jun lepas (iaitu apabila terdapat laporan kejadian pelajar sekolah sesak nafas di Pasir Gudang),” kata Dzulkefly.

Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan mengucapkan takziah kepada suami arwah serta ahli keluarga selain bersedia berjumpa bagi menjelaskan semula punca kematian.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan pihak media dan orang ramai agar menghormati perasaan ahli keluarga arwah serta mengelak menyebarkan maklumat tidak sahih dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari masa ke semasa. – BERNAMA


Pengarang :