AGENDANASIONAL

Kerajaan bincang wajibkan elaun pelajar praktikal

SHAH ALAM, 22 JUL: Isu mewajibkan bayaran elaun kepada pelajar yang menjalani latihan amali di sektor kerajaan akan dibincangkan dalam mesyuarat menteri kabinet tidak lama lagi.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, perkara itu kerana langkah terbabit mampu membantu pelajar meringankan beban semasa menjalani latihan amali masing-masing.

“Saya dah bincang dengan Ketua Setiausaha Negara dan akan membawa isu ini dalam perbincangan pada mesyuarat menteri kabinet khusus untuk isu belia yang sudah pun mendapat persetujuan Perdana Menteri minggu lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Majlis Memeterai Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Institut Sukan Negara di Dewan Anjung Sri Budiman, UiTM di sini, hari ini.

Syed Saddiq berkata, pada masa ini kebanyakan sektor kerajaan tiada peruntukan membayar elaun kepada pelajar menjalani latihan amali di jabatan masing-masing.

Bagaimanapun, katanya, terdapat sesetengah jabatan memperuntukkan bayaran RM150 hingga RM300 yang disifatkannya terlalu rendah.

“Bayarannya sangat rendah, RM150 hingga RM300 sebulan pada hal mereka masuk kerja jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang.

“RM300 apa mereka boleh buat dan yang lagi teruk, ada yang kosong bayaran,” katanya.

Syed Saddiq berkata, bayaran elaun ini juga akan dicadangkan di sektor swasta selepas berjaya dipraktikkan di sektor kerajaan.

Syed Saddiq turut meluahkan keyakinan langkah ini mampu memberi peluang kepada pelajar dari keluarga kurang berkemampuan menjalani latihan amali di jabatan atau syarikat swasta terkemuka di bandar raya Kuala Lumpur dan di bandar utama seluruh negara.

FOTO: FIKRI YUSOF (SELANGORKINI)

 


Pengarang :