AGENSISELANGOR

LZS santuni keluarga kelaparan

SHAH ALAM, 25 JUL: Bertindak pantas atas berita tular di media sosial, Skuad Saidina Umar Lembaga Zakat Selangor (LZS) segera menziarahi sebuah keluarga yang terputus perbelanjaan harian bagi menghulurkan bantuan.

Menerusi facebook, LZS memaklumkan bantuan segera wang tunai RM500 dan bantuan lain mengikut keperluan semasa sudah diberikan, hari ini.

“LZS difahamkan, suaminya sudah dua bulan bekerja sebagai Pengawal Keselamatan di Pelabuhan Klang dengan pendapatan RM1,800.

“Sebelum ini, suaminya bekerja di pusat cucian kereta, namun tidak dibayar gaji beberapa bulan dan terus memilih untuk berhenti.

“Sehingga kini, mereka hanya bergantung kepada pendapatan terbabit,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, kisah keluarga berkenaan tular di media sosial susulan suami isteri berkenaan memohon bantuan orang awam kerana anak mereka mengalami kelaparan.

Pasangan muda berkenaan masing-masing berusia 24 tahun itu mempunyai empat anak yang masih kecil.

“Pasangan ini masih muda dan mampu berusaha keras bagi menstabilkan kedudukan kewangan keluarga.

“Sama-sama kita doakan semoga pasangan muda ini dipermudahkan Allah dan dilapangkan rezeki mereka dalam menguruskan keluarga dan anak kecil,” katanya.


Pengarang :