NASIONAL

MFL lebih tegas musim depan – TMJ

ISKANDAR PUTERI, 15 JUL: Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) akan bersikap lebih tegas terhadap setiap pasukan yang bersaing dalam Liga Malaysia (Liga M) bermula musim depan bagi memastikan Pelan Strategik 50 Tahun (Next50) dari 2021 hingga 2070 dapat direalisasikan.

Pengerusi MFL, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, musim depan adalah ujian awal sebelum pelan berkenaan diaktifkan pada musim 2021 dan justeru semua pihak diminta bekerjasama dan memainkan peranan masing-masing bagi menjayakan pelan tersebut.

“Antara perkara penting yang perlu diambil berat setiap pasukan ialah kelangsungan jangka masa panjang dalam aspek kewangan,” katanya pada sidang media sempena pelancaran Next50 di Iskandar Malaysia Studio di sini, hari ini.

Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu menegaskan mulai musim depan, pasukan yang ingkar peraturan badan itu akan dikenakan tindakan sewajarnya dan ia sebagai langkah memastikan pelan Next50 dilaksanakan.

Beliau juga menasihatkan setiap pasukan dalam kancah Liga-M agar tidak berbelanja mengikut ‘nafsu besar’ sekiranya mahu melihat kedudukan kewangan kelab mereka terus kukuh dalam perancangan jangka masa panjang.

Katanya, kelangsungan kewangan yang kukuh adalah perlu bagi setiap mereka bagi memastikan mereka dapat bersama-sama memajukan industri tersebut.

Mengulas sama ada akan terdapat pasukan yang tidak puas hati dengan sistem kawalan perbelanjaan yang ditekankan dalam pelan strategik itu.

“Kita kena ada visi yang jelas..kita tidak boleh layan pasukan yang tidak hendak ikut peraturan.

“Kita kena tegas. Jikalau kita tak buat begitu dan masih berlembut dengan pasukan yang tidak hendak ikut peraturan ini, maka kita tidak akan berubah untuk selamanya dan kita akan ada sentiasa masalah,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :