NASIONAL

Muhyiddin nafi tandatangan surat akuan sumpah sokong peralihan PM

KUALA LUMPUR, 8 JULAI: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan beliau menandatangani surat akuan bersumpah menyokong peralihan jawatan Perdana Menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, surat akuan bersumpah bertarikh 2 Julai itu adalah palsu dan disifatkan bertujuan mencemarkan namanya.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya bahawa saya menandatangani satu dokumen akuan bersumpah berhubung perlaihan jawatan perdana menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti yang tular di media sosial semalam. Dokumen terbabit adalah palsu.

“Saya meminta polis supaya menyiasat penularan dokumen palsu ini yang saya fikir bertujuan untuk mencemarkan nama baik saya,” katanya menerusi kenyataan di Facebook rasminya.

Lewat petang semalam, tular di media sosial gambar dua surat akuan secara bersaingan yang masing-masing menyebut Muhyiddin dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyokong peralihan jawatan itu.

Sementara itu, Ahmad Zahid juga menerusi kenyataan di Facebook turut menafikan beliau telah menandatangani akuan bersumpah yang tular itu.

“…dengan tegas saya menafikannya. Saya tidak menandatangi surat berkenaan. Ini merupakan fitnah jahat yang dilakukan oleh mereka yang terdesak dan tidak bertanggungjawab bagi merosakkan diri saya selaku Presiden UMNO.

“Saya ingin nyatakan semua keputusan besar dan pendirian UMNO akan dibuat secara berpasukan. Bukan oleh saya secara individu,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :