SELANGOR

PNSB sumbang RM132,800 kepada Pusat Pendidikan Khas Minda

OLEH NADIAH ZAMLUS

PETALING JAYA, 13 JULAI: Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) menyumbangkan RM132,800 kepada Pusat Pendidikan Khas Minda untuk keperluan pembelajaran.

Sumbangan berkenaan diserahkan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Sri Ahmad Omar kepada pengasas pusat pendidikan terbabit, Khairol Ilmi Che Omar dengan disaksikan EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha.

Haniza berkata, sumbangan itu bagi membantu pusat terbabit menguruskan pelajar istimewa selain membayar gaji guru, membeli kelengkapan kelas serta bahan bantuan mengajar.

Katanya, hal itu kerana pelajar isitimewa memerlukan pendekatan dan cara pembelajaran berbeza berbanding pelajar normal.

“Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan setinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada PNSB kerana menjadi pemudahcara kepada Pusat Pendidikan Khas Minda.

“Ini membolehkan mereka terus menyediakan persekitaran yang sesuai dan selesa serta memenuhi keperluan pembelajaran anak-anak istimewa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyerahan Cek Pusat Pendidikan Khas Minda Sdn Bhd di Kelas Pengukuhan Minda (Masalah Pembelajaran) Taman Medan, di sini.

Hadir sama Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah.

Sementara itu Khairol Ilmi berkata, Kelas Pengukuhan Minda di Taman Medan diwujudkan bagi membantu kanak-kanak yang menghadapi masalah disleksia, ‘Attention Deficit Hyperactivity Disorder’ (ADHD), autisme dan masalah pembelajaran (slow learner).

Katanya, sejak 2018 pihaknya mendapat sokongan padu daripada Haniza yang juga Ahli Dewan Negeri Taman Medan pada ketika itu.

“Kami menerima murid dari usia enam hingga ke 17 tahun, alhamdulillah sehingga kini kelas pengukuhan minda memberi kesan besar kepada murid-murid di Taman Medan.

“Ada yang dahulu tidak mengenal huruf dan tidak tahu membaca, tetapi sekarang sudah mahir. Tanpa keprihatinan pihak Yang Berhormat (Haniza) tidak mungkin kami berada di sini.

“Terima kasih atas kepercayaan dan kami berharap supaya terus diberi peluang untuk membuka mata masyarakat bagi membantu murid yang menghadapi masalah pembelajaran,” katanya.


Pengarang :