SELANGOR

Pokok gergasi tumbang selepas hujan batu

OLEH NADIAH ZAMLUS

GOMBAK, 11 JUL: Kejadian pokok gergasi tumbang akibat ribut di Kampung Laksamana pada lewat petang semalam menyebabkan dua keluarga terpaksa tinggal di pusat pemindahan sementara di sini, hari ini.

Ahmad Suhaimi Abdul Latif, 42 berkata, pada mulanya berlaku ribut pada jam 6 petang menyebabkan beliau dan keluarga mendiamkan diri di dalam rumah sahaja.

“Selepas ribut, tiba-tiba ada bunyi kuat dari luar dan masa itulah berlaku hujan batu juga pada masa sama pokok yang terletak di sebelah rumah tumbang serta merta.

“Tetapi kami bernasib baik kerana ia tidak menimpa kawasan rumah sepenuhnya, namun disebabkan berbahaya dan berisiko untuk tumbang, saya bersama isteri serta tiga anak berpindah ke dewan terdekat,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Ahmad Suhaimi berpindah ke Dewan Serbaguna Kampung Laksamana sejak jam 12 tengah malam semalam.

Sementara itu, Rohana Amir, 45 berkata, ia adalah kejadian kali pertama menimpanya sepanjang 19 tahun menetap di kampung berkenaan.

Katanya, banjir kilat turut berlaku sebelum pokok gergasi menimpa rumah.

“Pada waktu itu air naik sehingga paras lutut, walaupun keadaan sedemikian saya dan suami bergegas keluar kerana bimbang pokok besar akan terus menimpa rumah.

“Saya berharap kami dapat pulang dengan segera ke rumah dan pokok besar dapat dialihkan,” katanya.

FOTO: REMY ARIFIN (SELANGORKINI)


Pengarang :