AGENSISELANGOR

Squad Kembara Sekolah dekati pelajar, promosi pelancongan

SHAH ALAM, 29 JULAI: Tourism Selangor mengambil langkah proaktif dengan menganjurkan Program Jelajah Squad Kembara Sekolah untuk mempromosi produk pelancongan di negeri ini kepada pelajar dan guru.

Pengurus Promosi dan Pembangunan Industrinya, Khuzaimah Jamaluddin berkata, siri jelajah kali kedua itu memilih Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) TTDI Jaya sebagai tuan rumah selepas siri pertama diadakan di SMK Darul Ehsan, Batu Caves, pada April lalu.

Katanya, program itu turut mendapat kerjasama Jabatan Pendidikan Selangor dan menerima penyertaan beberapa produk pelancongan utama negeri antaranya Sunway Lagoon, Kidzania, Farm in The City, Palace of the Golden Horses, Persatuan Sekinchan, Bangi Wonderland serta Jumpstreet.

“Pelbagai aktiviti menarik kita aturkan dengan memberi fokus terhadap jaringan informasi dan taklimat pelancongan komprehensif untuk mendedahkan pelajar serta guru SMK TTDI Jaya berkenaan pilihan produk pelancongan di negeri ini.

“Program ini turut menjadi landasan bagi penyaluran dan perkongsian informasi berkenaan industri pelancongan serta kebudayaan, sekali gus memperkenalkan Selangor sebagai negeri kaya dengan produk menarik selain berpotensi dijadikan sebagai antara destinasi pilihan pelancong.

“Malah, program ini juga dianjurkan bagi memperkenalkan pelajar dan guru kerana ada segelintir antara mereka tidak tahu kewujudan tempat menarik di Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Squad Kembara Sekolah bersama Tourism Selangor bersempena Festival Antarabangsa #MySchoolGoals 2019, di SMK TTDI Jaya, di sini, hari ini.

Pada masa sama, katanya, operator produk pelancongan Selangor juga turut menyediakan pelbagai hadiah berupa baucar dan tiket percuma kepada pelajar yang mengambil bahagian dalam pertandingan kuiz dan aktiviti interaktif secara ilmiah.

Khuzaimah berkata, penganjuran kali ini juga menampilkan persembahan istimewa dari suku kaum Orang Asal MahMeri yang turut mengetengahkan pengisian berbentuk persembahan kebudayaan yang menjadi tunjang industri pelancongan Kerajaan Negeri.

“Program Jelajah Squad Kembara Sekolah ini dijangka akan diteruskan pada setiap tahun dan kita merancang untuk memperluas skop program itu ke sekolah swasta dan antarabangsa,” katanya.


Pengarang :