BERITA UTAMA

Video seks ‘hampir’ tulen, siasatan tidak cam muka

KUALA LUMPUR, 18 JUL : Ketua Polis Negara (KPN) hari ini mengesahkan hasil analisis CyberSecurity Malaysia (CyberSecurity) terhadap video seks yang dikaitkan dengan seorang menteri mendapati kebarangkalian video itu tulen adalah tinggi.

Dato’ Seri Abdul Hamid Bador bagaimana berkata, hasil proses pengecaman wajah (facial recognition) adalah negatif dan tidak dapat mengaitkan pelaku di dalam video itu dengan individu yang dimaksudkan.

“Hasil siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan bahawa wujud pakatan jahat yang didalangi oleh seorang pemimpin sebuah parti politik bertujuan mengaib dan menjatuhkan reputasi individu tertentu,” katanya dalam kenyataan petang tadi.

Abdul Hamid berkata, video itu disebar dengan tujuan membangkitkan kegusaran masyarakat dan ia dihasilkan oleh pihak yang diupah dengan ratusan ribu ringgit.

Awal Jun lalu, klip video seks membabitkan dua lelaki tular dalam media sosial. Susulan itu, pada 12 Jun bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz mengaku dirinya adalah  lelaki dalam video itu dan mendakwa individu bersamanya itu ialah seorang menteri.

Jumlah tangkapan berhubung siasatan kes itu seramai sembilan orang termasuk Haziq. Seorang daripada tangkapan itu bagaimanapun dibebaskan manakala lapan yang lain termasuk Haziq direman.


Pengarang :