Peserta berbilang bangsa bergambar bersama bendera Malaysia sebelum memulakan larian dalam PJ Half Marathon 2019 bertempat di Padang Timur, Petaling Jayapada 25 Ogos 2019 . – Foto ASRI SAPFIE
PBTSELANGOR

10,000 pelari sertai PJ Half Marathon

SHAH ALAM, 25 OGOS: Acara terulung dan tertua di Petaling Jaya, PJ Half Marathon 2019 berlangsung dengan jayanya, walaupun dalam hujan lebat.

Edisi ke 31 itu disempurnakan oleh Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Dato’ Mohd Sayuthi Bakar.

Mohd Sayuthi berkata, seramai 10,000 menyertai acara larian itu membabitkan pelari tempatan dan luar negara.

Katanya, acara yang menawarkan hadiah keseluruhan RM82,850 itu mempertandingkan empat kategori iaitu larian 30 kilometer (km) terbuka, 21 km terbuka, 10 km terbuka dan tiga km ‘fun run’.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari membalas lambaian peserta selesai beliau merasmikan pelepasan PJ Half Marathon 2019 bertempat di Padang Timur, Petaling Jaya, pada 25 Ogos 2019. – Foto ASRI SAPFIE

“Edisi kali ini menyaksikan pendaftaran penyertaan ditutup lebih awal dari yang disasarkan atas sambutan hangat daripada pelari tempatan dan luar negara.

“Peningkatan penyertaan peserta luar negara juga amat memberangsangkan iaitu seramai 259 peserta dari 42 buah negara yang mendaftar untuk acara ini.

“Ini menjadikan acara PJ Half Marathon semakin popular dalam penyertaan tempatan dan juga antarabangsa pada setiap tahun,” katanya ketika ditemui selepas pelepasan acara larian itu di sini.

Beliau berkata, larian 31 KM kali itu ditampilkan semula selepas mendapat permintaan ramai.

Malah, katanya, jarak larian itu juga akan diteruskan tahun hadapan memandangkan ia mendapat sambutan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari (tengah) bersama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Dato’ Sayuti Bakar dan Timbalan Datuk Bandar, Johary Anuar menyantuni peserta orang kelainan upaya (OKU) yang turut serta dalam PJ Half Marathon 2019 di Padang Timur, Petaling Jaya. pada 25 Ogos 2019 – Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Namun, kita tidak membuka penyertaan melebihi 10,000 orang kerana ia akan membabitkan gangguan kepada penduduk.

“Kita terpaksa menutup jalan lebih lama jika penyertaan melebihi 10,000 orang,” katanya.

Seramai 100 anggota polis trafik serta 50 anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan ditugaskan untuk mengawal lalu lintas bagi menjamin kelancaran serta keselamatan PJ Half Marathon semua peserta mahupun orang awam.

PJ Half Marathon 2019 dianjurkan oleh MBPJ dan Persatuan Olahraga PARA Selangor dengan kerjasama Puncak Ventures SRA Sdn Bhd.

Turut menjayakan acara ini ialah 100 PLUS & ICE MOUNTAIN (F&N Beverages Marketing Sdn Bhd), ULTRON, PEROZIN (Pharmaniaga Pristine Sdn Bhd), UNITAR, SUUNTO dan Beaute Library.

Gelagat peserta sekitar program PJ Half Marathon 2019 di Padang Timur, Petaling Jaya, pada 25 Ogos 2019. – Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Pengarang :