AGENDAGLOBAL

12 terkorban, 9 hilang akibat taufan di Vietnam

HANOI, 7 OGOS: Taufan Wipha, ribut tropika ketiga yang melanda Vietnam tahun ini telah meragut 12 nyawa dan menyebabkan sembilan orang lagi hilang, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan Jawatankuasa Pusat bagi Pengawalan dan Pencegahan Bencana Alam negara itu pada Rabu.

Kesemua mangsa yang maut adalah termasuk tujuh dari utara wilayah Thanh Hoa dan masing-masing seorang dari Bac Kan, Dien Bien, Lao Cai, Son La dan Phu Tho manakala sembilan yang disenaraikan hilang pada Selasa malam adalah dari Thanh Hoa dan Dien Bien.

Wipha mendarat di utara wilayah Quang Ninh pada 2 Ogos lalu dan mereda kepada depresi tropika yang mengakibatkan hujan lebat, angin kencang, tanah runtuh dan banjir di wilayah utara.

Dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, bencana alam di Vietnam menyebabkan 34 orang maut atau hilang, memusnahkan 156 kediaman, merosakkan lebih 3,000 rumah lain dan 3,700 hektar padi serta tanaman lain, yang mengakibatkan kerugian ekonomi sebanyak 239 bilion dong Vietnam (US$10.4 juta), kata Pejabat Perangkaan Awam negara itu.

Vietnam merupakan antara negara yang paling terjejas oleh bencana alam dan perubahan iklim, menurut Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Ia berdepan enam hingga tujuh taufan setiap tahun secara purata.

-BERNAMA


Pengarang :