Saifuddin Nasution (depan enam, kiri) bergambar bersama peserta ketika hadir pada Majlis Perasmian Penutupan 1st Student Entrepreneurship Programme di Kolej Vokasional Sungai Buloh, hari ini. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

46,331 pelajar manfaatkan Skim 1 Pelajar 1 Perniagaan

SUNGAI BULOH, 6 OGOS: Seramai 46,331 pelajar kolej vokasional dari seluruh negara berjaya memanfaatkan Skim 1 Pelajar 1 Perniagaan (S1P1P) dengan peruntukan RM2.9 juta, sehingga kini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kewujudan dana itu memberi ruang dan peluang kepada pelajar untuk mendaftarkan perniagaan mereka secara percuma melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Malah katanya, baki RM7.1 juta daripada peruntukan keseluruhan RM10 juta masih terbuka kepada pelajar yang berminat untuk menceburi bidang perniagaan.

“Saya amat menggalakkan pelajar untuk merebut peluang memohon dana S1P1P memandangkan ia masih dibuka dan setakat ini tiada tarikh tutup.

“Kita juga memberi ruang dan kebebasan kepada pelajar untuk menceburi apa sahaja jenis perniagaan mengikut kreativiti mereka selagi ia sah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan ‘1st Student Entrepreneurship Program’ di Kolej Vokasional Sungai Buloh, di sini hari ini.

Turut hadir, Setiausaha KPDNHEP merangkap Pengerusi SSM, Datuk Muez Abd Aziz.

Program anjuran SSM itu memperkenalkan slogan ‘perniagaan satu kerjaya’ dalam usaha menarik pelajar menceburi bidang perniagaan sebagai kerjaya, sejurus tamat belajar di kolej vokasional.

Program itu adalah terakhir dianjurkan hari ini selepas rentetan daripada siri jelajah yang dilaksanakan di Kolej Vokasional Nibong Tebal, Kolej Vokasional Pengkalan Chepa, Kolej Vokasional Port Dickson dan Sekolah Menengah Teknik Melaka sebelum ini.

Pelbagai aktiviti diadakan antaranya seminar ilmu keusahawanan, perkongsian pengalaman usahawan berjaya, seminar memulakan perniagaan dan taklimat beberapa agensi.

Turut disediakan 30 gerai jualan dan pameran daripada pelajar kolej vokasional bagi memberi ruang kepada mereka menjalankan perniagaan selain mendapat maklumat berkenaan bantuan disediakan agensi kerajaan untuk usahawan.


Pengarang :