Calon Kerajaan Perpaduan Pang Sock Tao (tengah) diiringi Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada hari penamaan calon PRK DUN Kuala Kubu Baharu di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor, Kuala Kubu Bharu pada 27 April 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Gerak kerja jentera PRK diatur, bergerak satu pasukan, santuni pengundi

HULU SELANGOR, 27 APRIL: Gerak kerja jentera antara Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu diatur bagi memastikan semua pengundi disantuni.

Pengerusi HARAPAN Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berkata koordinasi itu diatur sejak dua minggu lalu bagi memastikan semua jentera bergerak sebagai satu pasukan.

“Satu pertemuan diadakan dan gerak kerja disusun supaya dapat bergerak sebagai satu pasukan sepanjang pilihan raya.

“Saya berharap gerak kerja dan kempen berjalan lancar dengan memberi tumpuan kepada pengundi sedia ada. Dengan bantuan hampir 9,000 ahli HARAPAN dan BN, saya yakin akan capai keputusan minima untuk menang,” katanya ditemui selepas proses penamaan calon PRK DUN Kuala Kubu Baharu hari ini.

Terdahulu, PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian Lee Kee Hiong akibat barah pada 21 Mac lalu.

Mengulas lanjut, Amirudin yang juga Dato’ Menteri Besar memaklumkan kehadiran pimpinan utama pusat dan negeri ke proses penamaan calon di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor pagi tadi membuktikan kesepakatan Kerajaan Perpaduan.

“Proses penamaan calon berjalan lancar dari awal dan kita mulakan dengan momentum sangat baik…ini tanda kesepakatan ditonjol dalam Kerajaan Perpaduan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada hari penamaan calon PRK DUN Kuala Kubu Baharu di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor, Kuala Kubu Bharu pada 27 April 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

“Ada calon ditolak kerana gagal mengemukakan senarai perbelanjaan pada pilihan raya lepas. Ini membuktikan calon Bebas tidak ambil serius dalam PRK selain bukti HARAPAN pilihan terbaik untuk mewakili rakyat di Kuala Kubu Bharu,” ujarnya.

Susulan kematian Kee Hiong, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN berkenaan pada 11 Mei ini, hari pengundian awal 7 Mei dengan tempoh berkempen 14 hari.

Kerusi DUN Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Kerajaan Perpaduan, Perikatan Nasional (PN), Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan calon bebas.

Pang Sock Tao yang mewakili Kerajaan Perpaduan dicabar calon PN Khairul Azhari Saut, Hafizah Zainudin dari PRM serta calon bebas, Nyau Ke Xin.

Daftar Pemilih Pilihan Raya bagi PRK KKB adalah 40,226 orang terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara.


Pengarang :