AGENDAJENAYAH

Budak warga Bahrain maut jatuh hotel

JOHOR BAHRU, 6 OGOS: Seorang kanak-kanak lelaki warga Bahrain yang tiba di bandar raya ini bersama keluarga untuk melancong, maut selepas terjatuh dari tingkat sembilan sebuah hotel di Iskandar Puteri, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Polis Dzulkhairi Mukhtar berkata, mayat kanak-kanak berumur lima tahun itu ditemui terlentang di tingkat tiga berhampiran kolam renang hotel berkenaan.

“Polis menerima laporan kejadian menerusi panggilan MERS 999 pada pukul 6.05 petang yang memaklumkan terdapat seorang individu terjatuh dari bangunan sebuah hotel.

“Pemeriksaan oleh pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor kemudian mendapati si mati (kanak-kanak warga Bahrain) meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai terjatuh dari tingkap tingkat sembilan iaitu dari bilik sewa si mati dan keluarganya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dzulkhairi berkata, menerusi soal siasat, ibu kanak-kanak terbabit memberitahu ketika kejadian dia sedang memasak di dapur, kanak-kanak berkenaan pula bermain dengan adiknya di ruang tamu bilik sewa itu manakala suaminya turun ke bawah hotel untuk membeli barang.

Katanya, apabila tidak mendengar suara kedua-duanya anak selang beberapa minit kemudian, wanita tersebut bertindak mencari kedua-duanya di dalam bilik tidur dan tandas namun hanya menemukan adik kanak-kanak itu di ruang tamu.

Menurutnya, pada masa sama, wanita berkenaan ternampak tingkap di ruang tamu terbuka dan terus melihat keluar sebelum ternampak kanak-kanak berkenaan sudah terjatuh ke bawah.

“Bapa kanak-kanak itu yang turut disoal siasat memaklumkan bahawa mereka sekeluarga baru sahaja tiba di bandar raya ini, semalam untuk melancong.

“Semasa kejadian, lelaki itu ke tingkat bawah untuk membeli barang sebelum menerima panggilan daripada isterinya pada pukul 5.58 petang yang memaklumkan anak mereka sudah terjatuh ke tingkat tiga,” katanya.

Dzulkhairi berkata, menurut saksi kejadian iaitu pengawal keselamatan hotel, dia ternampak kanak-kanak itu terjatuh ke tingkat tiga berhampiran kolam renang tetapi tidak melihat dari tingkat berapa kanak-kanak berkenaan terjatuh lalu menghubungi pihak pengurusan hotel untuk maklumkan kejadian kepada pihak polis.

Tiada rakaman kamera litar tertutup di tempat kejadian dan mayat kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, untuk bedah siasat.

-BERNAMA


Pengarang :