AGENDANASIONAL

Bursa Malaysia bercampur-campur pada rehat tengah hari

KUALA LUMPUR, 23 OGOS: Bursa Malaysia bercampur-campur pada akhir dagangan pagi hari ini, dengan indeks penanda aras dalam kedudukan positif manakala kedudukan pasaran negatif secara menyeluruh.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.20 mata kepada 1,603.67, berbanding 1,602.47 pada penutupan Khamis.

Ia dibuka 6.70 mata lebih rendah pada 1,595.77.

Berdasarkan kedudukan pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 366 berbanding 289, manakala 346 kaunter tidak berubah, 957 tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 976.08 juta unit bernilai RM673.43 juta.

Menurut seorang penganalisis, pasaran pulih sedikit daripada kerugian awal dan ditutup bercampur-campur pada tengah hari susulans okongan institusi di kaunter wajaran tinggi kewangan.

“Pasaran kembali meningkat selari kedudukan saham-saham berkenaan yang dibuka rendah pada sebelah pagi, sekali gus meningkatkan indeks utama pada tengah hari,” katanya.

Pada tengah hari, bebeapa kaunter wajaran tinggi kewangan kembali positif, dengan Hong Leong bank menambah enam sen kepada RM17.06, RHB Bank menokok satu sen kepada RM5.53, manakala Maybank dan CIMB Group masing-masing kekal pada RM8.56 dan RM5.06.

Bagi saham aktif, Vsolar dan MNC Wireless masing-masing kekal pada 13.5 sen dan 8 sen, AirAsia X susut satu sen kepada 18.5 sen, manakala Green Packet menokok 4.5 sen kepada 65 sen.

Indeks FBM Emas Shariah menambah 7.37 mata kepada 11,877.32 mata, Indeks FBM Emas meningkat 2.16 mata kepada 11,340.95, Indeks FBMT 100 menambah 0.91 mata kepada 11,175.40, manakala FBM Ace susut 52.43 mata kepada 4,595.21, dan FBM 70 turun 29.46 mata kepada 14,106.49.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 4.51 mata kepada 15,592.62, Indeks Produk dan Perkhidmatan Kewangan merosot 0.20 mata kepada 150.19 manakala Indeks Perladangan meningkat 8.61 mata kepada 6,781.26.

– BERNAMA


Pengarang :