BERITA UTAMA

DreamEDGE dipilih bangunkan kereta nasional baharu

CYBERJAYA, 9 OGOS: Penyedia teknologi inovatif dan penyelesaian, DreamEDGE Sdn Bhd, dipilih sebagai syarikat utama untuk projek kereta nasional baharu, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking said.

DreamEDGE menurut beliau, akan mendapat sokongan daripada Daihatsu Motor Company dalam teknologi terkini.

“Projek itu akan dibiayai swasta sepenuhnya tetapi syarikat layak untuk memohon geran daripada kerajaan,” katanya kepada pemberita dalam taklimat di sini, hari ini.

Prototaip kereta itu akan diperkenalkan pada Mac tahun depan, manakala pelancarannya dijadual pada Mac 2021.

“Kereta ini akan ditawarkan pada harga mampu milik kepada orang ramai,” katanya dan menurutnya kereta nasional baharu itu akan merupakan model baharu sepenuhnya bercirikan teknologi terkini dan akan menggunakan seni reka kenderaan yang kompetitif dan sudah terbukti.

Projek itu, menurutnya akan dibangunkan berdasarkan usaha sama teknologi dengan rakan kongsi teknikal global ke arah penawaran kenderaan berteknologi terkini, dan berkeupayaan untuk pengembangan modal insan.

Kerajaan berpendirian projek kereta nasional merupakan pemangkin perindustrian negara untuk memacu penyertaan bermakna rakyat Malaysia dalam penggunaan teknologi terkini.

“Ini akan mewujudkan peluang baharu untuk vendor dan bakat tempatan untuk menjadi sebahagian rantaian nilai teknologi tinggi.

‘’Paling penting, perniagaan tempatan dapat meneroka aktiviti yang akan mendapat permintaan di masa depan, dalam persekitaran yang kondusif, meminimumkan risiko berkaitan dengan pelaburan yang tinggi apabila operasi itu dibekalkan secara tempatan pada peringkat awal,” kata Darell.

Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif DreamEDGE, Khairil Adri Adnan berkata model pertama adalah kereta sedan dalam segmen C menggunakan teknologi hibrid.

Syarikat itu, katanya, telah memperoleh beberapa juta pembiayaan tetapi masih aktif mencari lebih banyak dana untuk projek itu.

Segmen C adalah kategori kenderaan peringkat pertengahan, dengan kenderaan yang berada dalam kategori itu seperti Honda Civic dan Toyota Corolla Altis.

-BERNAMA


Pengarang :