AGENDANASIONAL

ISESCO-KPM kukuh kerjasama perkasa bahasa Arab

JOHOR BAHRU, 22 OGOS: Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Islam (ISESCO) dan Kementerian Pendidikan (KPM) telah merangka pelbagai program secara tahunan bagi memberi nafas baharu kepada sistem pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab di kalangan guru dan pelajar di negara ini.

Pengarah ISESCO Malaysia, Dr Abdul Razif Zaini berkata, usaha ini adalah antara kerjasama strategik yang dijalin bagi memperkasa penguasaan bahasa Arab di setiap peringkat.

Katanya, kerjasama strategik yang memasuki tahun ketiga itu, memberi peluang kepada ISESCO melebarkan sayap kepakarannya bagi membantu KPM memastikan penguasaan bahasa ketiga itu dalam kalangan guru dan pelajar berada di tahap cemerlang.

“Setakat ini kami telah melakukan lebih 10 kajian bersama KPM dalam bidang bahasa Arab…natijahnya (keputusan) memberi petunjuk jelas bahawa terdapat kekurangan pada sistem pembelajaran dan pelajaran bahasa Arab di kalangan guru dan pelajar yang perlu ditambah baik.

“Dalam hal ini, ISESCO dan KPM akan memainkan peranan dan tanggungjawab untuk menyediakan ruang pemerkasaan bahasa Arab di kalangan mereka,” katanya kepada Bernama selepas menutup Bengkel Pedagogi Pengajaran Bahasa Arab Abad Ke-21 di Jabatan Pendidikan Negeri, di sini, hari ini.

Objektif bengkel dua hari anjuran ISESCO Malaysia dengan kerjasama KPM yang bermula semalam adalah bagi mengetengahkan amalan pengajaran bahasa Arab efektif di abad 21 dan mempersiapkan guru-guru dengan kemahiran teknologi berdasarkan peredaran zaman.

Bengkel itu disertai lebih 50 peserta terdiri daripada guru-guru dalam bidang pendidikan bahasa Arab dari Malaysia, Singapura dan Indonesia.

Mengulas lanjut, Razif berkata melalui kerjasama ini juga, ISESCO berpeluang menghantar 75 guru KPM mendalami bahasa Arab di Maghribi selama 45 hari bagi memantapkan kemahiran komunikasi dan memahami budaya Arab dengan lebih dekat.

“Program ini memberi pendedahan efektif kepada guru secara langsung dengan mendalami budaya Arab. Pendedahan menerusi budaya mampu menjadikan penguasaan bahasa dengan lebih cepat,” katanya.

Selain kerjasama dengan KPM, Razif berkata ISESCO turut memperluaskan rangkaian strategiknya ke peringkat Asia Tenggara.

“Kami juga mempunyai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universiti Ahmad Dahlan Jakarta, Indonesia dan Universiti Kebangsaan Vietnam di Ho Chi Minh City bagi memperluaskan peranan kami dalam bidang bahasa Arab,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Unit Perhubungan dan Pengantarabangsaan KPM, Zulkefli Hamat berkata pihaknya mempunyai matlamat yang sama dengan ISESCO dalam memperkasakan bahasa Arab di Malaysia.

Beliau berkata pakar ISESCO sentiasa mencadangkan pelbagai penambahbaikan bagi sistem pengajaran dan pembelajaran yang efektif kepada KPM.

“Kami sentiasa menerima maklum balas positif daripada pihak guru dan pelajar untuk terus mengadakan program bahasa Arab di bawah anjuran ISESCO.

“Mereka (guru) sentiasa mahu melakukan perubahan dan penambaikan dalam penyampaian kepada murid-murid, khususnya dalam bidang bahasa Arab,”katanya.

Zulkefli berkata ISESCO juga berjaya menarik minat pelajar bukan Islam untuk menguasai bahasa Arab.

Katanya terdapat beberapa pelajar India turut menyertai pertandingan bahasa Arab anjuran ISESCO dan mereka fasih berbahasa Arab.

Pusat Pendidikan Pertubuhan ISESCO cawangan Malaysia ditubuhkan pada 22 Okt 2015 dan merupakan satu daripada organisasi yang bernaung di bawah ISESCO yang berpangkalan di Rabat, Maghribi.

Selain Malaysia, negara lain yang menganggotai pertubuhan itu ialah Brunei, Myanmar, China, Taiwan, Laos, Singapura, Filipina, Sri Lanka, Thailand, Kemboja, Indonesia dan Vietnam.

Pertubuhan ISESCO Malaysia juga telah menganjurkan banyak program dan aktiviti tahunan antaranya seminar, bengkel, siri wacana akademik, penyelidikan dalam bidang bahasa Arab dan pendidikan Islam.

Selain itu, pertubuhan tersebut turut mengadakan pameran dan pertandingan bahasa Arab di peringkat sekolah serta institusi pengajian tinggi, sambutan hari bahasa Arab sedunia, dan penubuhan perpustakaan khas ISESCO di Malaysia. – BERNAMA


Pengarang :