AGENSISELANGOR

Kasih PKNS: RM400,000 baik pulih 16 rumah asnaf

KUALA LANGAT, 25 OGOS: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) membelanjakan RM400,000 untuk kos baik pulih 16 rumah asnaf, fakir dan miskin di sekitar Kuala Langat.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, proses baik pulih kesemua kediaman berkenaan bermula semalam (23 Ogos) dan dijangka siap sepenuhnya pada penghujung Oktober.

Katanya, kos yang dibelanjakan bagi setiap unit rumah adalah sebanyak RM20,000 ke RM30,000 mengikut kerosakan yang perlu dibaiki.

Beliau berkata, program baik pulih itu sudah dilaksanakan sejak 2013 dengan peruntukan keseluruhan RM3.4 juta.

“18 rumah asnaf di Sabak Bernam dibaiki pada 2013, 29 rumah asnaf pula di Kuala Selangor dan Sabak Bernam pada 2014.

“Manakala, pada 2015, 14 rumah asnaf di Petaling dibaik pulih dan pada 2016 sebanyak 20 rumah asnaf di Sepang , serta 16 rumah di Hulu Selangor pada 2017.

“Untuk tahun lalu, sebanyak RM479,905 dibelanjakan untuk baik pulih 16 rumah diGombak,” katanya ketika ditemui di program baik pulih rumah asnaf, fakir miskin di sini, semalam.

Dalam program itu, kakitangan PKNS mengecat sebuah rumah warga asnaf di Jalan Pulai Kanchong Darat, Banting.

Program yang disertai lebih 90 warga PKNS ini adalah Tanggungjawab Sosial Korporat(CSR) PKNS di bawah jenama Kasih PKNS.

Turut dijalankan program penyerahan sumbangan zakat diadakan di salah sebuah rumah penerima.

Mohd Azizi berkata, program pada kali ini berbeza dengan program CSR tahun sebelumnya, kerana PKNS hanya menyampaikan sumbangan berbentuk kewangan sahaja.

“Sumbangan ini sebagai bukti komitmen dan kesungguhan PKNS dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat Selangor secara umumnya.

“Kedaifan hidup golongan asnaf ini perlu dibantu memandangkan mereka hidup dengan serba kekurangan, ditambah pula dengan keadaan rumah yang usang dan kurang selesa,” katanya.

Justeru, Mohd Azizi berharap, rumah yang dibaik pulih itu dapat meringankan bebanan mereka di samping dapat membangkitkan semangat dalam menjalani kehidupan dengan lebih tenang dan selesa.


Pengarang :