AGENDANASIONAL

Kilang di Pasir Gudang diarah pasang alat kawalan pelepasan bahan cemar

JOHOR BAHRU, 4 OGOS: Semua kilang di Pasir Gudang diarahkan memasang peralatan kawalan pelepasan bahan cemar atau buangan berteknologi tinggi dan automatik di cerobong kilang masing-masing bagi membolehkan pemantauan data pelepasan bahan buangan kilang dilakukan selama 24 jam.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Wan Abdul Latiff Wan Jaafar berkata, teknologi terkini yang digunakan itu harus boleh dihubung atau disalurkan terus kepada JAS supaya pihaknya dapat memantau secara dalam talian.

“Tetapi pada masa sama, kami akan turun ke lapangan untuk sahkan data pelepasan. Maknanya pihak kilang juga perlu menyimpan rekod untuk pengesahan, “ katanya pada sesi Townhall Isu-Isu Semasa Pasir Gudang di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang di sini, hari ini.

Program itu dihadiri wakil sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Pasir Gudang.

Wan Abdul Latiff berkata, semua usaha itu perlu dilakukan kerana terdapat kemungkinan pihak kilang memanipulasi data-data pelepasan bahan buangan mereka sekiranya tiada kerja-kerja pemantauan dan penguatkuasaan dijalankan secara berterusan.

Terdahulu, beliau turut memberitahu pihaknya bersama Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) sedang dalam usaha untuk mendapatkan peralatan yang canggih bagi mendepani insiden pencemaran udara di Pasir Gudang.

Ini termasuk kemungkinan meletakkan sekurang-kurangnya 30 stesen pemantauan kualiti udara persekitaran automatik di kawasan berkenaan.

– BERNAMA


Pengarang :