Rosli Othman (kanan) danTan Sri Abd Karim Shaikh Munisar ketika gimik Program Majlis Penyampaian Tiket Kejohonan Bola Sepak Piala Sultan Selangor 2019 pada 15 Ogos di Dewan Banquet, Menara Majlis Perbandaran Kajang. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI.
AGENDASUKANKINI

Lebih 3,000 tiket Bola Sepak Piala Sultan Selangor diedar MPKj

KAJANG, 15 OGOS: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menerima lebih 3,000 tiket bola sepak sempena Majlis Penyampaian Tiket Bola Sepak Piala Sultan Selangor 2019 di Menara MPKj di sini, hari ini.

Yang DiPertua MPKj, Dato’ Rosli Othman berkata, pihaknya dan Ahli Majlis MPKj akan mengedarkan tiket itu sekali gus akan menguar-uarkan kejohanan terbabit kepada penduduk sekitar Kajang.

Katanya, beliau yakin ramai antara penduduk sekitar Kajang akan membanjiri Stadium Shah Alam bagi menyaksikan perlawanan tersebut pada 24 Ogos ini.

“Kejohanan itu hanya tinggal dalam beberapa hari lagi bakal berlangsung dan saya berharap Ahli Majlis dapat menguar-uarkan kepada penduduk setempat mengikut zon masing-masing.

“Saya percaya kejohanan kali ini pasti lebih terserlah memandangkan tahun lalu Selangor menjuarai piala itu dan mungkin tahun ini sejarah lalu berulang lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Media Selangor selepas Majlis Penyampaian Tiket Bola Sepak Piala Sultan Selangor hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pengelola dan Pelaksana Piala Sultan Selangor 2019, Tan Sri Abd Karim Shaikh Munisar.

Pada masa sama, Rosli berkata, MPKj selaku pihak berkuasa tempatan (PBT) bukan hanya menyediakan perkhidmatan kepada warga sekitar namun pihaknya sentiasa menyokong penuh terhadap program seumpama ini.

Justeru, katanya, program seumpama ini dilihat perlu bagi menarik masyarakat ke arah memanfaatkan masa lapang dengan cara lebih baik.

“Sukan seperti bola sepak ini juga salah satu instrumen penting untuk mengeratkan hubungan perpaduan dan integrasi masyarakat khususnya.

“Malah, pagi ini saya teruja memandangkan MPKj juga pertama kali terlibat dalam Siri Jelajah Piala Sultan Selangor 2019.

“Oleh itu, saya menyeru seluruh penduduk Kajang serta kawasan sekitar untuk hadir pada 24 Ogos nanti bagi menggegarkan Stadium Shah Alam,” katanya.

Kejohanan Bola Sepak Piala Sultan Selangor 2019 yang kini memasuki tahun ke-18 penganjuran bakal menyaksikan pertembungan antara Selangor menentang Singapura.


Pengarang :