Amirudin Shari menandatangani poster sebagai simbolik perasmian Program Merdeka @Komuniti Daerah Gombak 2019 di Padang Awam, Batu Caves hari ini. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB: Merdeka @ Komuniti pupuk semangat patriotisme

GOMBAK, 25 OGOS: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari memuji inisiatif Jabatan Penerangan Malaysia menganjurkan program Merdeka @ Komuniti yang berupaya memupuk semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat.

Katanya, program itu dapat membentuk masyarakat cintakan Malaysia, sekali gus melahirkan sebuah negara bersih, jujur dan bertanggungjawab.

“Saya percaya melalui program sebegini, ia mampu meningkatkan semangat patriotisme kerana inilah tradisi negara kita, iaitu menghadapi cabaran baharu dan dilaksanakan oleh mereka yang bersih, bertanggungjawab dan jujur.

“Oleh itu, di awal pemerintahan selepas tragedi 13 Mei 1969 di zaman pembangunan ekonomi sehingga kini, ia perlu terus diisi dengan konsep pengurusan dan pentadbiran bersih, jika tidak ia akan melahirkan banyak perkara mengecewakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Media Selangor selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Program Merdeka @ Komuniti Peringkat Gombak di Padang Awam Batu Caves, di sini hari ini.

Pada masa sama, katanya, kemajuan dikecapi hari ini seharusnya mendatangkan hasil yang baik dan diuruskan dengan berkesan serta jujur.

Terdahulu, Amirudin meluangkan masa hampir setengah jam di program itu dengan melawat gerai pameran dan menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan bercerita kanak-kanak serta masakan.

Turut hadir, Orang Besar Gombak, Tan Sri Dato’ Paduka Raja Dato’ Wan Mahmood Pa’wan Teh dan Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang, Dato’ Dr Juhari Ahmad.


Pengarang :