AGENDA NASIONAL

Najib beri dana RM100,000 kepada UMNO Bahagian Batu Kawan

KUALA LUMPUR, 29 OGOS: Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Mohd Noor Ahmad hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak telah memberi dana RM100,000 kepadanya untuk menjalankan program kebajikan bagi masyarakat di kawasan berkenaan.

Mohd Noor, 60, yang memberi keterangan pada perbicaraan kes Najib membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berkata, beliau menerima wang itu melalui sekeping cek ketika berjumpa Najib, yang ketika itu Presiden UMNO di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya pada 6 Ogos 2013.

“Selepas terima cek, saya kemudiannya ‘bank in’ cek itu ke dalam akaun UMNO Bahagian Batu Kawan. Wang itu digunakan untuk program kebajikan dan sumbangan kepada rakyat di kawasan Batu Kawan, Pulau Pinang,” katanya ketika pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya, Najwa Bistamam pada hari kedua perbicaraan kes Najib yang didakwa menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang sama.

Menceritakan bagaimana dana itu diperoleh, Mohd Noor berkata, beliau ketika itu pemangku Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan telah berjumpa dengan Najib, yang merupakan perdana menteri di pejabatnya di Putrajaya.

“Saya maklumkan kepadanya (Najib) bahawa parti kekurangan dana. Beliau (Najib) kemudiannya memberi cek RM100,000 kepada saya yang ditulis atas nama UMNO Bahagian Batu Kawan,” katanya yang turut memaklumkan cek itu telah ditandatangani dan ditulis sendiri oleh Najib.

Menjawab soalan peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Mohd Noor yang memegang jawatan Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan sejak 19 Oktober 2013 sehingga kini menjelaskan wang RM100,000 itu digunakan untuk memberi sumbangan kepada pelajar kurang berkemampuan yang ingin menyambung pengajian di universiti awam dan swasta.

“Wang itu juga diberi kepada sekolah-sekolah di kawasan berkenaan untuk membantu aktiviti PIBG selain disumbangkan kepada golongan yang memerlukan,” katanya yang turut memaklumkan tujuan wang itu digunakan adalah untuk kebajikan masyarakat bukan untuk menaikkan nama Najib.

Disoal Muhammad Shafee sama ada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ada memfailkan permohonan untuk melucut hak harta (wang RM100,000), saksi pendakwaan keenam itu berkata: “tidak ada”.

Mohd Noor turut memberitahu mahkamah bahawa akaun UMNO Bahagian Batu Kawan telah dibekukan sejak setahun lepas sehingga kini.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

– BERNAMA

 


Pengarang :