AGENDANASIONAL

Negara ASEAN perlu tegas dalam isu jerebu

KUCHING, 10 OGOS: Negara ASEAN perlu mengadakan pertemuan untuk menyesaikan masalah jerebu dan pencemaran rentas sempadan yang memberi ancaman serius terhadap kesihatan penduduk di rantau ini.

Aktivis sosial, Datuk Seri Ang Lai Soon berkata masalah pencemaran yang berulang itu perlu dibincangkan dengan lebih serius kali ini memandangkan negara ASEAN sudah beberapa kali mengadakan pertemuan sebelum ini, namun tiada tindakan tegas dan berkesan diambil.

“Rakyat di negara terbabit mahukan keputusan memuaskan dan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan. 

Lai Soon berkata, beliau yakin Malaysia dan Singapura boleh memainkan peranan utama secara berterusan dalam mencari penyelesaian dan menangani perkara ini dengan serius.

Beliau berkata banyak negara mempunyai undang-undang yang ketat mengenai pencemaran dan pembakaran, bagaimanapun yang menjadi masalah ialah penguatkuasaan, terutama bagi negara membangun atau mundur.
 
Katanya, kerjasama serius bagi menangani  masalah itu diperlukan melalui perjanjian yang menjadikan penguatkuasaan satu perkara serius bagi menghalang orang ramai daripada melakukan perbuatan yang boleh menjejaskan kesihatan penduduk dan ekonomi negara terbabit.

Beliau berkata bayi, kanak-kanak, warga tua, ibu mengandung, orang sakit terutama yang mengalami masalah jantung adalah golongan yang paling terkesan akibat jerebu yang berpunca daripada kebakaran hutan terutama pembakaran bagi tujuan pertanian berskala besar.

“Perkara ini bukan krisis politik, tetapi krisis kesihatan yang mengancam nyawa,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :