Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pantau rapi Permit Kelulusan import kubis bulat

KUALA LUMPUR, 6 OGOS: Proses pengeluaran Permit Kelulusan (AP) untuk mengimport kubis bulat perlu dikawal secara rapi bagi memastikan pengguna mempunyai pilihan mendapatkan sayuran berkenaan pada harga kompetitif.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, hal itu kerana wujud elemen penyalahgunaan elemen AP kubis bulat berdasarkan dapatan kajian semula pasaran sektor makanan di bawah Akta Persaingan 2010 (AP 2010).

“Isu ini dikenalpasti menjadi faktor penyumbang kepada kenaikan harga sayuran terbabit di pasaran tempatan, malahan hubungan rapat antara pemain pasaran menimbulkan isu persaingan dalam pasaran sayur-sayuran.

“Bukan hanya kementerian berkenaan mengeluarkan AP, malah pemiliknya juga harus dipantau dan bukan dijadikan sebagai satu pihak memiliki AP tetapi mengambil keuntungan daripada pemain import,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Market Review on Food Sector Under The Competition Act 2010, di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Agung Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Muez Abdul Aziz; Pengerusi MyCC, Dato’ Seri Mohd Hishamudin Md Yunus dan Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail.

Selain kubis bulat, kajian semula pasaran yang dibuat secara menyeluruh itu turut memberi fokus kepada beberapa barangan makanan terpilih iaitu daging, ikan kembung, rumusan bayi dan sawi.

Saifuddin Nasution berkata, kajian berkenaan bagi meneliti struktur pasaran, daya saing pasaran dan menentukan sama ada terdapat perlakuan anti-persaingan dalam sektor makanan, seterusnya mengurai punca di sebalik kenaikan harga barangan sejak kebelakangan ini.

“Sebahagian daripada dapatan, MyCC juga mencadangkan beberapa syor penambahbaikan kepada proses persaingan dalam kelima-lima subsektor itu, selari usaha kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup,” katanya.


Pengarang :