AGENDANASIONAL

Pasaran getah kekal menurun minggu depan

KUALA LUMPUR, 24 OGOS: Pasaran getah Malaysia dijangkakan kekal dalam aliran harga menurun minggu depan susulan kebimbangan terhadap kelembapan ekonomi dunia, yang boleh menyebabkan aktiviti pengeluaran berkurangan.

“Peserta pasaran juga bimbang terhadap lebihan bekalan komoditi itu memandangkan Majlis Getah Tiga Pihak Antarabangsa (ITRC) belum mengumumkan sama ada ia akan meneruskan sekatan eksport,” katanya.

Majlis itu yang dianggotai tiga pengeluar utama, Thailand, Indonesia dan Malaysia, bersetuju melaksanakan sekatan ke atas sekitar 240,000 tan eksport getah dalam tempoh empat bulan bagi meningkatkan harga getah.

Indonesia dan Malaysia, yang sudah menyelesaikan program itu, melaksanakan sekatan pada 1 April, manakala Thailand akan menyelesaikannya pada September.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, pasaran tempatan rendah, dengan harga tengah hari gred tayar SMR 20 Lembaga Getah Malaysia susut sembilan sen kepada 534.50 sen sekilogram manakala lateks pukal susut 4.5 sen kepada 435 sen sekilogram.

Pada 5 petang, harga penutupan SMR 20 susut 13 sen kepada 529.5 sen sekilogram manakala lateks pukal merosot enam sen kepada 433 sen sekilogram.

– BERNAMA


Pengarang :