AGENDANASIONAL

Pelaburan dilulus naik kepada RM92 bilion dalam separuh pertama

KUALA LUMPUR, 17 OGOS: Malaysia merekodkan pelaburan yang diluluskan sebanyak RM92 bilion dalam sektor-sektor utama, perkhidmatan dan pembuatan bagi separuh pertama 2019, naik 7.6 peratus daripada RM85.5 bilion yang dicatatkan dalam tempoh yang sama pada tahun sebelum ini, kata Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

MIDA dalam satu kenyataan bersama dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) semalam berkata, daripada jumlah pelaburan yang diluluskan, RM49.5 bilion merupakan pelaburan asing manakala baki sebanyak RM42.5 bilion adalah pelaburan domestik.

“Pelaburan asing dalam sektor utama, pembuatan dan perkhidmatan yang diluluskan pada separuh pertama 2019 melonjak 97.2 peratus kepada RM49.5 bilion daripada RM25.1 bilion yang direkod pada separuh pertama 2018.

“Ini menggambarkan kelebihan daya saing dan komparatif Malaysia dalam menarik pelaburan di tengah-tengah ketidaktentuan yang semakin memuncak dalam pasaran global termasuk ketegangan perang perdagangan,” kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking.

Angka pelaburan yang diluluskan dalam separuh pertama 2019 merangkumi 2,554 projek dan akan mewujudkan 59,542 peluang pekerjaan di negara ini.

“Sektor perkhidmatan menyumbang peratusan terbesar iaitu sebanyak 59.8 peratus atau RM55.0 bilion, daripada jumlah pelaburan, diikuti dengan sektor pembuatan (RM33.1 bilion atau 36.0 peratus) serta sektor utama (RM3.9 bilion atau 4.2 peratus),” katanya lagi.

Bagi sektor perkhidmatan, pelaburan domestik membentuk sebahagian besar iaitu sebanyak RM32.6 bilion atau 59.3 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan bagi separuh pertama 2019, manakala baki RM22.4 bilion adalah daripada sumber-sumber asing.

Sejumlah 2,150 projek perkhidmatan telah diluluskan pada separuh pertama 2019 dan ini mampu mewujudkan lebih 28,650 pekerjaan.

MIDA ketika mengulas mengenai sektor pembuatan memberitahu sektor itu mencatatkan pelaburan yang diluluskan sebanyak RM33.1 bilion daripada 366 projek pembuatan dalam separuh pertama 2019 berbanding dengan RM19.0 bilion daripada 288 projek pembuatan yang diluluskan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

“Lebih kurang 75.8 peratus atau RM25.1 bilion datang daripada pelaburan asing dan baki RM8 bilion adalah daripada sumber domestik,” katanya sambil menambah bahawa projek-projek perkilangan yang diluluskan akan mewujudkan kira-kira 30,449 pekerjaan.

Sumber-sumber asing yang membuat pelaburan terbanyak adalah Amerika Syarikat dengan pelaburan berjumlah RM11.7 bilion, diikuti oleh China (RM4.8 bilion), Singapura (RM3.1 bilion), Jepun (RM2.1 bilion) dan Kepulauan Virgin British (RM1.4 bilion).

“Lima negara ini secara bersama menyumbang sebanyak 92.0 peratus daripada jumlah pelaburan asing yang diluluskan dalam sektor pembuatan semasa tempoh berkenaan,” katanya.

Mengenai sektor utama, MIDA berkata ia menyumbang sebanyak RM3.9 bilion atau 4.2 peratus kepada jumlah projek yang diluluskan dalam separuh pertama 2019 dengan subsektor perlombongan terus mendahului melalui kelulusan pelaburan sebanyak RM3.6 bilion, diikuti perladangan dan komoditi (RM257.3 juta) serta pertanian (RM48.6 juta).

“Pelaburan ini dijangka akan mewujudkan 443 peluang pekerjaan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :