AGENDANASIONAL

Penggajian pekerja asing subsektor perkhidmatan lain ditutup

PUTRAJAYA, 8 OGOS: Kerajaan bersetuju dengan cadangan penutupan penggajian pekerja asing bagi subsektor perkhidmatan lain iaitu dobi, tekstil, tukang gunting dan tukang emas yang dibekukan sejak 2009, kata Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing yang dipengerusikannya bersama M. Kula Segaran di sini, hari ini.

Katanya, dalam cadangan yang dibentangkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu, dasar semasa yang membenarkan penggantian pekerja asing bagi subsektor itu turut akan dihentikan dalam masa tiga tahun lagi secara berperingkat mulai tahun ini sehingga 2021.

“Justifikasi penutupan adalah berdasarkan kepada keutamaan penggajian rakyat tempatan dan fokus kepada sumber ekonomi yang lebih memberangsangkan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat itu.

Muhyiddin berkata, mesyuarat turut memutuskan supaya Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh (ILMIA) melaksanakan kajian lanjut bagi menentukan keperluan penggajian pekerja asing di bawah subsektor gudang darat seperti dicadangkan Kementerian Pengangkutan.

“Berdasarkan hasil kajian itu, kerajaan akan menentukan semula agensi kerajaan yang bersesuaian sebagai agensi kawal selia (AKS) bagi subsektor gudang darat,” katanya.

Katanya, permohonan pekerja asing sebagai pemandu penggerak utama di Pelabuhan Barat (Westports) dan Pelabuhan Tanjung Pelepas akan dipertimbangkan mengikut prosedur sedia ada dengan mengambil kira keperluan sebenar syarikat.

“Pada masa akan datang, syarikat perlu mempertimbangkan faktor seperti kadar gaji, elaun dan insentif yang boleh menarik minat pekerja tempatan serta bergerak ke arah automasi serta mekanisasi,” katanya.

Katanya, mesyuarat juga bersetuju dengan cadangan Kementerian Kerja Raya berhubung kadar yuran penilaian kompetensi kemahiran untuk pekerja asing sektor pembinaan di negara sumber iaitu RM750 per tred (pengkhususan) bagi tred biasa dan RM850 per tred bagi tred minyak dan gas.

“Kerajaan juga prihatin dengan masalah para pengusaha sawah yang menanggung kos operasi yang lebih tinggi ketika ini.

“Oleh itu, mesyuarat pada hari ini bersetuju untuk meluaskan skop tempoh kemasukan pekerja asing di bawah Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) Jangka Pendek untuk sektor pertanian khusus bagi tanaman padi untuk tempoh enam bulan,” katanya.

Muhyiddin berkata, mesyuarat turut mengambil maklum situasi industri sarung tangan getah yang sedang mengalami masalah kekurangan tenaga kerja khususnya melibatkan isu kesesuaian pekerja asing dari negara-negara sumber tertentu seperti Bangladesh dan Nepal.

Sehubungan itu, katanya, Kementerian Sumber Manusia sebagai tumpuan dalam proses rundingan terakhir dengan Kerajaan Bangladesh dan hasil rundingan akan dimaklumkan kepada jemaah menteri supaya hala tujunya dapat diputuskan.

“Sementara itu, usaha bagi penggajian pekerja asing dari Nepal juga akan diteruskan,” katanya.

Katanya, mesyuarat turut membincangkan cadangan Kementerian Sumber Manusia supaya Independent Social Compliance Audit (ISCA) dilaksanakan sebagai satu bentuk kawal selia kendiri oleh majikan.

“Walaupun cadangan ini satu inisiatif yang baik, sesi libat urus perlu diadakan dengan lebih menyeluruh bersama dengan pihak berkepentingan,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :