AGENDANASIONAL

Saya tidak pernah usul cadangan sertai Kabinet – Anwar

KUALA LUMPUR, 30 OGOS: Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak pernah mengusulkan cadangan menjadi sebahagian daripada anggota jemaah Kabinet Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meskipun dijangka wujud rombakan kecil dalam portfolio menteri nanti.

Katanya, beliau sedia menunggu sehingga gilirannya tiba bagi menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan.

“Saya terikat dengan konsensus dan saya tidak pernah mengusulkan atau bercadang untuk menyertai kabinet kerana persefahaman dan konsensus dalam PAKATAN (Pakatan Harapan) yang ditandatangani adalah PM (Tun Dr Mahathir Mohamad) akan menjadi perdana menteri dan Wan Azizah adalah timbalannya sehinggalah giliran saya mengambil alih,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen di bangunan Parlimen, hari ini.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata demikian bagi mengulas kenyataan Mahathir semalam bahawa tidak ada kekosongan untuk Anwar menyertai kabinet buat masa ini.

Sementara itu, ditanya sama ada KEADILAN akan mengikut jejak langkah pendirian sekutunya, BERSATU yang mengambil tindakan terhadap sesiapa yang mencemarkan parti itu dengan ramalan mengatakan bahawa PAKATAN akan kalah dalam pilihan raya (akan datang), Anwar menjelaskan tiada tindakan diambil partinya.

Ini berikutan katanya, KEADILAN adalah parti demokratik dalam melontarkan pandangan.

“Dalam KEADILAN, kita bagi ruang lebih demokratik dalam memberi pandangan. Jadi, tidak ada tindakan untuk pemimpin PKR yang berbuat demikian,” katanya bahawa pihaknya akan meneliti pandangan yang dikemukakan rakan sekutunya itu.

Mengulas pertanyaan mengenai status surat yang dihantar Zuraida Kamaruddin bagi meminta Anwar mengadakan perbincangan dalaman membabitkan isu KEADILAN pula, beliau menjelaskan pihaknya sudah membalas satu daripada tiga surat yang dikirimkan naib presiden parti berkenaan.

Katanya bagi dua lagi surat, ia akan dibalas oleh Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution Ismail.

Anwar juga mengingatkan Zuraida agar hadir dalam setiap mesyuarat yang diadakan parti itu dan ia boleh dijadikan tempat untuk membincangkan isu berbangkit.

“Kita ada forum, kita ada mesyuarat biro politik setiap minggu dan mesyuarat MPP setiap bulan. Sila hadir,” katanya.

Sementara itu, mengulas kenyataan Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan bahawa hanya takdir menentukan Anwar akan jadi perdana menteri atau tidak, beliau menjawab: “Hidup, mati… semua bergantung pada takdir. Menteri, bukan menteri, jodoh, semua pada takdir. Jadi saya percaya pada takdir.” katanya secara bersahaja.

– BERNAMA


Pengarang :