Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
AGENDANASIONAL

SPRM perlu maklumat lengkap bukan surat layang untuk bertindak

ALOR SETAR, 20 OGOS: Komuniti nelayan perlu memberi maklumat yang lengkap jika mahu membuat aduan berkaitan rasuah atau salah guna kuasa dalam sektor perikanan khususnya, supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat mengambil tindakan yang tepat.

Pengarah SPRM negeri, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap berkata, sehingga kini kebanyakan aduan yang diterima hanya melalui ‘surat layang’ yang tidak mempunyai maklumat dikehendaki hingga menyukarkan tindakan dilakukan.

“Ya… memang kita terima aduan tetapi tak dapat saya katakan berapa banyak, tetapi hanya surat layang yang terlalu umum maklumatnya, contohnya dia kata jabatan A yang buat, tetapi pada masa sama dia kata mungkin jabatan B dan C yang buat.

“Ada juga kita terima aduan berlaku di Kuala Kedah dan Langkawi tetapi dia tak beritahu tempat lebih spesifik… kalau boleh kita nak maklumat yang lebih, baru boleh kita bertindak dan menyiasat,” katanya pada Majlis Dialog SPRM bersama Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Kedah di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Jabatan Laut negeri, Khazali Ahmad dan Pengarah Maritim Malaysia Kedah/Perlis, Laksamana Pertama Mohd Rozali Md Said serta kira-kira 50 nelayan Kuala Kedah.

Shaharom Nizam berkata, bagi yang membuat aduan kepada SPRM, mereka tidak perlu bimbang kerana identiti mereka akan dilindungi.

Beliau mengulas kenyataan Anggota Parlimen Kuala Kedah, Dr Azman Ismail yang mengesyorkan agar SPRM memantau sektor perikanan dalam negara bagi memastikan ia bebas daripada amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa seperti yang dilaporkan media sebelum ini.

Laporan itu menyebut, banyak rungutan daripada komuniti nelayan diterima berhubung penguatkuasaan yang lemah yang berkemungkinan wujud amalan rasuah dan penyelewengan sehingga membuka ruang kepada pencerobohan bot-bot asing di perairan negara ini hingga menjejaskan tangkapan nelayan tempatan.

-BERNAMA


Pengarang :