AGENDABERITA UTAMANASIONAL

409 sekolah di Sarawak diarah tutup akibat jerebu

KUCHING, 10 SEPT: Sebanyak 409 sekolah di sembilan daerah di negeri ini diarahkan tutup hari ini selepas bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan terbabit diambil kira sehingga pukul enam petang semalam.

Jabatan Pendidikan Negeri dalam satu kenyataan berkata sekolah itu melibatkan 347 sekolah rendah dan 62 sekolah menengah di Kuching, Samarahan, Padawan, Serian, Sri Aman, Betong, Bau, Lundu dan Lubok Antu.

“Ini melibatkan sebanyak 157,479 murid,” kata kenyataan itu di sini hari ini.Di Kuching, sebanyak 26 sekolah menengah dan 61 sekolah rendah ditutup, Padawan (15 sekolah menengah, 86 sekolah rendah), Betong (lapan sekolah menengah, 45 sekolah rendah), Sri Aman (lima sekolah menengah, 36 sekolah rendah) dan Bau (empat sekolah menengah, 40 sekolah rendah).

Di Lubok Antu pula membabitkan dua sekolah menengah dan 28 sekolah rendah, Samarahan (dua sekolah menengah, satu sekolah rendah) manakala Serian dan Lundu masing-masing 20 dan 30 sekolah rendah.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak, Abang Mat Ali Abang Masagus berkata, peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di sekolah terlibat bagaimanapun berjalan seperti biasa.

“(Penilaian penutupan sekolah) akan mengikut bacaan IPU setiap pukul 6 petang, kerana keputusan perlu dibuat untuk esok hari.

“Jadi melihat kepada keadaan kualiti udara sekarang ini (hari ini), maknanya mereka (pihak sekolah) kena buat persediaan untuk buka sekolah esok kalau trend bacaan IPU terus menurun,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Pagi tadi, sebanyak 50,000 topeng muka sekali lagi diserahkan pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarawak kepada Jabatan Pendidikan Negeri untuk diedarkan kepada sekolah-sekolah di seluruh Sarawak.

Kualiti udara di negeri ini bagaimanapun dilihat bertambah baik pagi ini, dengan hanya Sri Aman mencatatkan kualiti udara sangat tidak sihat, manakala Kuching yang sejak tiga hari lepas dalam kategori sama akhirnya mencatat bacaan IPU di bawah 200.

Menurut Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak, Mejar Ismail Mahedin dari APM negeri, Sri Aman mencatatkan bacaan IPU 202 setakat pukul 8 pagi berbanding 241 pada 8 malam tadi.

Bacaan IPU di Kuching pula turun mendadak kepada 167 pagi ini berbanding 236 8 malam tadi manakala Samarahan walaupun kekal pada bacaan kualiti udara tidak sihat, namun menunjukkan trend penurunan dengan merekodkan bacaan 132 pagi ini berbanding 186 semalam.

Daerah lain iaitu Sarikei, Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri dan Sibu yang mencatat bacaan IPU tidak sihat semalam juga mencatatkan bacaan lebih baik hari ini dengan masing-masing kini mencatat IPU sederhana di bawah 100.

Semalam, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak menyarankan pihak sekolah menghentikan semua aktiviti di luar bilik darjah yang melibatkan semua murid sekiranya bacaan IPU melebihi 100, jika IPU melebihi 200, semua sekolah yang berada dalam kawasan atau daerah hendaklah ditutup serta merta.

– BERNAMA


Pengarang :