Pengerusi Pakatan Harapan (PAKATAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Anwar: Boikot produk berdasarkan kaum perbuatan tidak sihat

KUALA LUMPUR, 3 SEPT: Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar kempen anjuran pihak tertentu yang menyeru pemboikotan produk berdasarkan kaum dan agama, dengan menyifatkannya sebagai ‘tidak sihat’.

Beliau berkata, kempen mempromosikan produk halal boleh diterima, namun menggunakan isu perbalahan kaum adalah tidak sihat dalam negara berbilang kaum seperti Malaysia.

“Sebagai seorang Muslim, saya fikir penting bagi kita untuk mempromosikan produk yang sangat baik. Terdapat produk yang diperlukan oleh Muslim yang memang dibuat oleh orang Cina.

“Penggunaan konotasi perkauman (dalam kempen boikot) tidak sihat dalam masyarakat berbilang kaum dan dunia pluralistik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama di Majlis Antarabangsa Kerjasama Sejarah dan Kebudayaan-Asia Tenggara (ICHCC-SEA) Persidangan Antarabangsa mengenai Sejarah dan Kebudayaan di sini, hari ini.

Persidangan dua hari yang bermula hari ini, bertujuan menyediakan landasan untuk pertukaran budaya dan pendidikan.

Kini terdapat kempen berterusan di media sosial oleh pihak tertentu yang menghasut orang ramai supaya memboikot produk bukan Islam.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, tindakan memboikot produk bukan Islam adalah tindakan mereka yang cetek fikiran dan gerakan seperti itu tidak akan mendatangkan kesan besar, malahan hanya mengundang api kemarahan.

-BERNAMA


Pengarang :