ADNSELANGOR

Cadangan jual hartanah kepada pembeli luar wajar disokong

SHAH ALAM, 16 SEPT: Cadangan Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamarudin supaya menjual hartanah kepada pembeli luar negara menerusi Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) wajar disokong.

Ahli Dewan Negeri Sementa, Dr Daroyah Alwi berkata, mana-mana pihak yang cuba menimbulkan kerisauan berhubung cadangan itu dinasihatkan supaya membuat kajian berkaitan skim terbabit terlebih dahulu.

Katanya, cadangan itu dijelmakan kerajaan sebagai pendekatan mengatasi lambakan rumah mewah yang sudah siap dibina selama ini tetapi masih tidak terjual kerana di luar kemampuan rakyat.

“Lambakan projek gajah putih tinggalan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu mencalar imej dan merencatkan ekonomi negara.

“Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) merekodkan lambakan rumah mewah di Malaysia dianggarkan bernilai RM100 bilion yang setiap satunya berharga RM1 juta ke atas,” katanya dalam kenyataan.

Daroyah yang juga Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor berkata, cadangan itu juga membuka banyak ruang dan peluang terutama dalam merancakkan aktiviti ekonomi serta pelancongan selain membawa aliran tunai masuk ke dalam negara.

“Skim ini juga dilindungi dengan syarat ketat dikawal selia Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pelancongan.

“Ia juga bakal menyelesaikan masalah sosial yang kebiasaannya timbul di kediaman kosong tidak berpenghuni,” katanya.

Katanya, skim MM2H diperkenalkan di Malaysia pada 2002 kini hanya mencecah tiga peratus dan masih jauh ketinggalan berbanding negara lain.

Sebelum ini, sebuah portal tempatan melaporkan Zuraida mencadangkan supaya Kempen Pemilikan Rumah (HOC) digerakkan bagi menarik pembeli dari luar negara seperti China dan Hong Kong bagi menyelesaikan isu lambakan rumah tidak terjual di negara ini.

Bagaimanapun, cadangan berkenaan mendapat reaksi negatif daripada netizen termasuk Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA) dengan menyifatkan tindakan menjual rumah mewah kepada pembeli asing hanya akan menggalakkan pemaju untuk membina lebih banyak hartanah mewah, sekali gus tidak memikirkan pembinaan rumah mampu milik.


Pengarang :