AGENDA NASIONAL

Isu Twitter: Raja Permaisuri Agong kecewa polis buat tangkapan

KUALA LUMPUR, 14 SSEPT: Selepas Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, NGO dan Ahli Parlimen turut menyuarakan kebimbangan mereka terhadap penangkapan individu yang didakwa memuat naik komen yang menyinggung perasaan di media sosial.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang memuji kenyataan Tunku Azizah hari ini yang mendesak pihak berkuasa supaya membebaskan aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) Khalid Ismath dan yang lain yang kini ditahan di bawah Akta Hasutan 1948, serta menyifatkan penangkapan itu sebagai ‘tidak dapat dipertahankan’.

Khalid, 29, ditahan kira-kira jam 10.30 malam Jumaat di rumahnya di Klang oleh tiga orang pegawai dari unit D5 di Bukit Aman di bawah Seksyen 4 (1) (b) kerana didakwa menghantar ciapan menghasut yang ditujukan kepada Tunku Azizah.

“Semua anggota polis dan kakitangan awam harus membiasakan diri dengan manifesto PRU ke-14 PH untuk mengetahui semangat, falsafah dan hala tuju kerajaan Pakatan Harapan (PH) walaupun undang-undang dan dasar belum berubah supaya mereka tidak bertindak secara terbuka menentang ikrar PH untuk Malaysia Baharu,” kata Penasihat DAP itu dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Lawyers of Liberty menyatakan kebimbangannya terhadap pengawalan keterlaluan terhadap catatan di media sosial yang menyentuh isu sensitif seperti perkauman, agama dan kerabat diraja dengan empat individu lagi ditangkap pada 11 September atas alasan membuat catatan sedemikian.

“Penangkapan ini adalah tindakan serius terhadap kebebasan bersuara kita yang dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan sambil menambah bahawa masalah itu ditambah lagi dengan undang-undang semasa dan sekatan terhadap kebebasan bersuara tidak ditakrifkan dengan jelas.

“Undang-undang tidak boleh dipakai semata-mata untuk melindungi perasaan dan sensitiviti orang terhadap media sosial kerana ia bukan sahaja penyalahgunaan kuasa tetapi juga tidak akan berkesudahan jumlah kes seperti itu.

“Sebaliknya, penyelesaian bukan undang-undang, seperti mendidik masyarakat tentang sempadan media sosial yang betul dan meningkatkan kesedaran tentang buli siber, akan lebih sesuai,” menurut kenyataan itu sambil menambah pihak berkuasa harus menghentikan semua penyiasatan dan penangkapan yang tidak perlu berkaitan dengan catatan di media sosial.

Dalam kenyataan berasingan, Amnesty International Malaysia menyatakan penggunaan berulang dan meluas Akta Hasutan menandakan kurangnya usaha untuk meningkatkan kebebasan bersuara di negara ini dan menggesa undang-undang yang telah berkuat kuasa terlalu lama supaya dihentikan segera.

Pengarah Eksekutifnya, Shamini Darshni Kaliemuthu berkata kerajaan kini harus bertindak atas janji untuk memansuhkan Akta Hasutan pada sidang Parlimen yang akan datang mulai Oktober seperti yang diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong pada 11 September.

“Seiring dengan saranan pemansuhan Akta Hasutan, kami menyeru kerajaan supaya menggugurkan semua tuduhan di bawah undang-undang penindasan ini dengan segera dan tanpa syarat,” katanya.

Pagi ini, Tunku Azizah mengaktifkan semula akaun rasmi twitter @cheminah sayang dengan ciapan rasa kecewa terhadap penahanan dua individu oleh polis kerana menurunkan komen negatif dalam twitter baginda.

Dalam ciapannya, Tunku Azizah bertitah: ” hari ini saya sedih dan marah pihak polis menangkap orang-orang itu.

“Selama ini saya dan Tuanku tidak pernah membuat sebarang laporan polis terhadap perkara buruk yang dikatakan terhadap kami… ini adalah negara bebas…” titah baginda dalam ciapan yang sama.

Tunku Azizah mengejutkan para netizen selepas tiba-tiba menyahaktifkan akaun Twitternya pada Rabu.

-BERNAMA


Pengarang :