JAS siasat dakwaan kebun di Johan Setia, Klang sengaja dibakar bagi tujuan membersihkan tanah tersebut.
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

JAS siasat tindakan bakar kebun di Johan Setia

PUTRAJAYA, 23 SEPT: Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang sengaja melakukan pembakaran bagi tujuan pembersihan kebun di Johan Setia, Klang, Selangor yang menyebabkan keadaan jerebu di kawasan itu menjadi lebih teruk.

JAS dalam satu kenyataan hari ni berkata, perbuatan pembakaran itu menyebabkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan berkenaan meningkat kepada lebih 200 iaitu sangat tidak sihat sejak pukul 2 petang semalam sehingga 3 petang tadi.

“JAS akan mengambil tindakan tegas di atas kejadian kebakaran yang disengajakan ini, dengan membuat siasatan lanjut dan turut mendapatkan bantuan pihak polis,” katanya.

Dalam pada itu, JAS berkata, secara keseluruhannya, kualiti udara dalam negara masih lagi menerima kesan jerebu merentas sempadan, dengan 35 stesen merekodkan bacaan IPU tidak sihat setakat pukul 3 petang tadi.

Berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) semalam, imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 20 menunjukkan terdapat penurunan titik panas di Sumatera, Indonesia iaitu daripada 777 kepada 262, manakala di Kalimantan jumlahnya meningkat daripada 363 kepada 487.

Terdapat sembilan titik panas dikesan di dalam negara iaitu di Pahang (empat), Johor (dua), Terengganu (dua) dan Sabah (satu).

JAS dalam pada itu berkata, pihaknya dihujani dengan pelbagai pertanyaan daripada orang awam mengenai isu bacaan IPU yang dikatakan tidak mencerminkan keadaan sebenar.

Katanya, orang awam perlu mengetahui bahawa bacaan jarak ketampakan iaitu jarak penglihatan adalah amat berbeza dengan bacaan IPU yang dipaparkan oleh JAS.

“Jarak ketampakan adalah merupakan pengukuran jarak penglihatan sebenar pada masa tersebut manakala bacaan IPU adalah berdasarkan kepada cerapan kepekatan habuk halus PM2.5 yang dipuratakan pada 24 jam sebelumnya dan akan dikira sebagai IPU,” katanya.

Menurut JAS, bacaan IPU mengambil masa untuk menunjukkan peningkatan bacaan manakala jarak ketampakan boleh dilihat dengan serta-merta.

Sementara itu, Ketua Pengarah JAS Norlin Jaafar berkata, sebanyak 4,409 aduan pembakaran terbuka diterima agensi itu bagi tempoh Januari sehingga 22 September lalu.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut sebanyak 1,152 amaran telah dikeluarkan kepada pelaku dan 22 kes tindakan mahkamah telah diambil.

Beliau berkata, aduan tersebut melibatkan pembakaran sampah sarap, kebakaran belukar, hutan, tapak pelupusan sampah haram, kebun kecil dan tapak pembinaan.

“JAS telah menyiasat semua aduan yang dikemukakan oleh orang awam. Susulan siasatan tersebut sebanyak 1,152 amaran telah dikeluarkan, 86 tindakan tawaran kompaun dan juga 22 kes tindakan mahkamah telah diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas muncul dalam rakaman program Upsound terbitan Bernama News Channel (BNC) di sini, hari ini.

Beliau turut menasihatkan kepada orang awam supaya tidak melakukan aktiviti pembakaran terbuka kerana akan memburukkan lagi keadaan jerebu yang sedang berlaku ketika ini.

Jika didapati bersalah melakukan pembakaran terbuka, mereka akan dikenakan hukuman dibawah Seksyen 29A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan boleh didenda maksimum RM500,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

– BERNAMA

 


Pengarang :