Zuraida Kamaruddin melawat tapak pasar malam ketika Majlis Perasmian Projek Rintis Garis Panduan Pasar Malam di Tapak Projek Keramat Permai, Ampang Jaya pada 23 September 2019. Foto FIKRI YUSOF
AGENDANASIONAL

PBT digesa pantau operasi pasar malam

AMPANG JAYA, 23 SEPT: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyarankan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara mengikuti Garis Panduan Pasar Malam seperti yang ditetapkan.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, ia bertujuan menyeragamkan pengurusan aktiviti pasar malam yang sebelum ini mengguna pakai Undang-Undang Kecil (UUK) yang tidak diselaraskan.

Katanya, ketidakseragaman itu menimbulkan pelbagai kesan negatif termasuk aduan berkaitan kebersihan sampah-sarap selepas waktu operasi pasar malam, kesesakan lalu lintas dan pelbagai gangguan lain.

“KPKT prihatin terhadap pelbagai aduan dan mengambil inisiatif untuk membangunkan Garis Panduan Pasar Malam selain mengadakan sesi libat urus antara Jabatan Kerajaan Tempatan dan pihak berkepentingan.

“Antara elemen yang ada dalam garis panduan ini ialah pengezonan jenis jualan, penyediaan elektrik bagi mengurangkan pencemaran bunyi, penggunaan lampu pemancar cahaya diod (led) dan pengurusan sampah secara teratur.

“Elemen lain seperti pemilihan lokasi tapak pasar malam yang sesuai bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas, pelaksanaan program ‘My Save Food’ dan aspek keselamatan turut diutamakan,” katanya.

Pasar Malam Keramat Permai, Ampang Jaya. Foto FIKRI YUSOF

Beliau berkata demikian ketika Sidang Media selepas perasmian Projek Rintis Garis Panduan Pasar Malam di Tapak Pasar Malam Keramat Permai, Ampang Jaya, di sini, hari ini.

Zuraida berkata, pelaksanaan garis panduan itu bermula di Tapak Pasar Malam Keramat Permai bagi menguji keberkesanannya.

Katanya, ujian garis panduan itu dimulakan sejak Mac lalu dan ia memakan masa selama enam bulan.

Menurutnya, KPKT telah memperuntukan RM110,640 bagi kerja pemasangan elektrik dan pili air di tapak pasar malam itu dan tindakan sama bakal dikembangkan ke seluruh negara.

Mengulas sasaran garis panduan diguna pakai di seluruh negara, Zuraida berkata, pihaknya menyasarkan ia akan mula berkuat kuasa sepenuhnya pada 2021 tetapi akan dilakukan secara berperingkat.

“Ketika ini garis panduan ini belum dikuatkuasakan sepenuhnya dan mungkin ia akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 dan kita sasarkan pada tahun 2021,” katanya.


Pengarang :