AGENDANASIONAL

Logo khas Selangor Premium bakal diperkenal

SHAH ALAM, 7 SEPT: Kerajaan Negeri sedang dalam peringkat penyediaan logo khas ‘Selangor Premium’ untuk diberikan kepada pengusaha produk makanan khususnya produk proses dan segar.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, melalui pengenalan logo itu, setiap produk yang dihasilkan perlu melalui proses audit berkala sebelum diberikan kebenaran.

“Harapan Kerajaan Negeri supaya masa hadapan kesemua agroprenuer sama ada pengeluar produk segar mahupun proses boleh mengadaptasikan prosedur operasi standard (SOP).

“Ia dapat diterapkan kepada mereka dan seterusnya produk yang dihasilkan akan menjadi lebih berkualti dan mendapat pasaran lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Selangor Agrofest 2019: Pemodenan Pertanian ke Arah Kehidupan Lestari, di Bulatan Bazerana, di sini.

Hadir sama EXCO Kerajaan Negeri, Ir Izham Hashim dan Dato’ Abdul Rashid Asari.

Pada masa sama, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri turut mempertingkatkan promosi produk segar dan proses dari Selangor ke pasaran antarabangsa melalui penyertaan ekspo jualan di Singapura, Jepun, Negara Timur Tengah serta Eropah.

Selain itu, katanya, pembukaan tanah baharu untuk pertanian juga sedang giat dikenalpasti bagi memberi peluang kepada semua golongan khususnya beliau untuk menceburkan diri di sektor pertanian.

“Melalui pembukaan tanah baharu, Kerajaan Negeri akan turut membantu daripada segi penyediaan infrastruktur asas seperti kerja tanah dan penyediaan plot supaya beban golongan ini diringankan untuk memulakan sesuatu projek,” katanya.


Pengarang :