BERITA UTAMASELANGOR

MB: Ambil iktibar peristiwa Hijrah Nabi Muhammad SAW

SHAH ALAM, 1 SEPT: Seluruh umat Islam di negeri ini diingatkan supaya menghayati dan mengambil iktibar daripada peristiwa Hijrah Nabi Muhammad SAW dalam mencari kehidupan baharu yang lebih baik.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, peristiwa Hijrah baginda bersama sahabat dari Mekah ke Madinah membuka sinar baharu kepada dakwah dan perkembangan Islam.

“Jerit perih dilalui golongan Muhajirin dari Kota Mekah yang bertabah hati dan menyabung nyawa dalam siri perpindahan atau Hijrah sewaktu di bawah penindasan Musyrik pimpinan Abu Jahal memang menginsafkan.

“Pengorbanan yang bukan kepalang dalam meninggalkan keselesaan anak isteri, harta juga tanah air demi matlamat perjuangan lebih besar wajar diambil iktibar buat umat saat ini,” katanya dalam perutusan sempena Maal Hijrah 1441H, hari ini.

Amirudin berkata, masyakat juga digesa supaya terus bersatu hati, bermuafakat dan sanggup berkorban dalam mempertahankan kerukunan, kestabilan dan keharmonian negara Malaysia yang dicintai.

“Semalam kita baharu sahaja menyambut Hari Kemerdekaan negara yang ke-62. Sepertimana penghijrahan ke Madinah bagi mencari penghidupan baharu yang lebih baik, begitulah juga yang diusahakan dan diperjuangkan oleh pendahulu kita dengan darah, keringat serta air mata sewaktu menentang Portugis, Jepun dan Inggeris beberapa abad yang lampau,” katanya.


Pengarang :