Presiden & Naib Canselor UNISEL, Prof Dr Mohammad Redzuan bergambar bersama tetamu kehormat dan peserta ketika Program “Osh Awareness For Future Young Employers and Workers” di UNISEL Kampus Shah Alam pada 26 September 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Nafi hak asasi pekerja tingkat kemalangan di tempat kerja

SHAH ALAM, 26 SEPT: Penafian hak asasi pekerja dalam aspek keselamatan dan kesihatan akan menjurus kepada peningkatan kemalangan pekerjaan serta penularan penyakit.

Presiden dan Naib Canselor Universiti Selangor (UNISEL), Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, berdasarkan statistik Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), lebih 1.2 juta pekerja dinafikan hak untuk bekerja dalam suasana selamat dan sihat setiap tahun.

“Kemalangan di tempat kerja memberi implikasi dan imej buruk kepada sesebuah organisasi, bahkan kos yang perlu ditanggung jika berlaku kemalangan pastinya lebih tinggi berbanding kos dikeluarkan untuk memastikan keselamatan di tempat kerja terjamin.

“Ini termasuk kos rawatan, ganti rugi dan pampasan terhadap keluarga mangsa terbabit yang perlu dibayar. Lebih dirasai apabila majikan atau organisasi akan kehilangan tenaga pekerja terlatih,” katanya.

Perasmian Program “Osh Awareness For Future Young Employers adn Workers” oleh Presiden & Naib Canselor UNISEL, Prof Dr Mohammad Redzuan di UNISEL Kampus Shah Alam pada 26 September 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Seminar Kesedaran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) ‘Kesedaran Majikan dan Pekerja Muda Masa Hadapan’, di Dewan Kuliah 2, UNISEL Shah Alam, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Selangor, Mustafa Draman; Penolong Setiausaha Kehormat Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH), Daman Huri Mohammad serta Timbalan Pengerusi Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) Cawangan Selangor, Michelle Hah.

Seminar anjuran Jabatan Sains Kesihatan, Fakulti Kejuruteraan dan Sains Hayat, UNISEL dengan kerjasama PERKESO, FMM serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (SOSH) itu disertai kira-kira 100 mahasiswa terdiri daripada beberapa Institusi Pengajian Tinggi (IPT), di Selangor.

Mohammad Redzuan berkata, program itu sebagai wadah kesedaran kepada pelajar, pelawat, kakitangan dan majikan berhubung kepentingan mengamalkan aspek keselamatan serta kesihatan semasa menjalankan tugas.

Katanya, pendedahan kesedaran itu meliputi aspek perundangan keselamatan dan kesihatan pekerjaan, keselamatan sosial, kebakaran serta bencan di tempat kerja.

“Proses memberi kesedaran sememangnya mengambil masa, namun seperti yang dilakukan dalam kalangan mahasiswa hari ini akan memberi kesan pada masa akan datang.

“Kesedaran perlu ditanam di peringkat awal supaya keselamatan pekerja akan lebih terjamin,” katanya.


Pengarang :