AGENDASUKANKINI

Pasukan UAE tiba awal di Malaysia

KUALA LUMPUR, 7 SEPT: Pasukan Emiriah Arab Bersatu (UAE) tiba di sini beberapa hari lalu menjelang aksi Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Harimau Malaya di Stadium Nasional di Bukit Jalil pada 10 September.

Anggota jawatankuasa teknikal FA UAE, Dr Hassan Suhail berkata, pasukan itu memutuskan untuk tiba awal di Kuala Lumpur untuk memastikan pemain ‘Al Abyad’ dapat menyesuaikan diri dengan perbezaan cuaca dan waktu selain faktor lain yang memberi kesan kepada prestasi pasukan.

“Semua orang tahu betapa pentingnya aksi pertama dalam pusingan kelayakan ini, yang merupakan permulaan bagi Pasukan Nasional.

“Saya percaya bahawa melakar keputusan positif ketika berdepan Malaysia akan menjadi motivasi yang kuat untuk semua pemain dalam mengharungi baki perlawanan seterusnya menanti pasukan dalam kumpulan ini, yang semuanya bertekad untuk layak ke peringkat seterusnya,” beliau dipetik sebagai berkata dalam laman sesawang FA UAE; www.uaefa.ae, semalam.

Hassan berkata, ketua jurulatih UAE, Bert Van Marwijk menyenaraikan 25 pemain dalam skuad bagi pusingan kelayakan dan meletakkan peluang bagi gergasi Asia Barat itu untuk melangkah ke peringkat seterusnya.

“Keyakinan terhadap pemain-pemain kami adalah berdasarkan bahawa kami mempunyai ramai pemain yang mempunyai kemampuan untuk menampilkan prestasi terbaik dan melakar keputusan yang meletakkan pasukan di landasan yang betul,” tambah Hassan.

Pasukan UAE telah memulakan latihan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras pada Khamis.

Untuk rekod, UAE telah menjalani latihan pusat selama 10 hari di Salzburg, Australia pada Julai diikuti kem latihan kedua di Bahrain yang menyaksikan pasukan itu menundukkan Republik Dominica 4-0 dan membelasah Sri Lanka 5-1.

– BERNAMA


Pengarang :