AGENDANASIONAL

Pemaju, majlis agama Islam disaran bekerjasama bangun tanah wakaf

BUTTERWORTH, 21 SEPT: Kerajaan menggalakkan lebih ramai pemaju bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Negeri dalam membangunkan tanah wakaf menerusi pembangunan komersial yang dapat memberi manfaat kepada umat Islam terutama golongan berpendapatan rendah untuk memiliki rumah.

Mengambil contoh pembangunan Wakaf Seetee Aishah di negeri ini oleh UDA Holdings Berhad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berharap projek pembangunan hartanah di tanah wakaf itu dapat menjadi contoh terbaik kepada negeri lain dalam membangunkan tanah wakaf.

Menurutnya, tanah wakaf perlu dilihat sebagai satu instrumen sosioekonomi yang akan meringankan bebanan pembangunan yang kosnya ditanggung oleh kerajaan.

“Wakaf ini satu tanggungjawab yang kita hanya perlu meningkatkan kesedaran supaya kerajaan juga dapat dibantu dalam mengendalikan kos pembangunan ini. Untuk kita mengurangkan kos setelah mempunyai tanah, tapi kos pembangunan itu juga perlu ada rakan kongsi yang melihat ia sebagai tanggungjawab bagi memajukan pembangunan wakaf ini.

“… dan keupayaan bank yang bersedia untuk melihat ianya ada nilai yang akhirnya ada pulangan balik kepada mereka. Kami di peringkat Kerajaan Persekutuan melihat masa hadapan tanah wakaf sebagai alat yang penting,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan projek pembangunan hartanah Wakaf Seetee Aishah 2, di sini hari ini.

UDA Holdings Berhad menerusi anak syarikatnya UDA Land North Sdn Bhd dengan usahasama Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) akan membangunkan projek pembangunan tanah wakaf pertama oleh UDA di Wakaf Seetee Aishah, di Bandar Seberang Jaya, di sini merangkumi unit kediaman dan komersial yang dijangka siap pada 2023.

Mengulas lanjut, Mujahid berkata kerajaan akan merangka undang-undang bagi memastikan pewakaf dan tanah yang diwakafkan dilindungi.

“Untuk kita mengembangkan lagi wakaf ini, ia juga perlu ada satu bentuk undang-undang yang akan melaraskan dari segi ketelusan dan kebertanggungjawaban. Sekiranya berlaku penyelewengan apakah undang-undang yang akan menjamin pewakaf termasuk isu yang melibatkan bentuk wakaf.

“Paling utama ialah sejauh mana kita nak mendorong dari segi dasar kerajaan yang kalau orang bagi wakaf itu dia rasa dia ada pulangan dari segi kepentingan. Yang ini saya tak boleh umum lagi, kita tunggu masa pembentangan Bajet 2020 sebab dalam bajet ada sentuh mengenai keperluan wakaf sebagai instrumen penting untuk pembangunan negara,” katanya.

— BERNAMA


Pengarang :