Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Produk Skinny Lolita, Xtreme Candy ada racun berjadual

SHAH ALAM, 6 SEPT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengingatkan pengguna supaya tidak membeli produk Skinny Lolita dan Xtreme Candy yang dikesan mengandungi racun berjadual.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, berdasarkan analisis makmal yang dilakukan pihak Health Science Authority (HSA), Singapura menemui kandungan Sibutramine dalam Skinny Lolita manakala Xtreme Candy mengandungi Tadalafil.

“Semakan mendapati produk Skinny Lolita merupakan produk yang tidak berdaftar dengan KKM dan sehingga kini sebanyak 81 paket produk tersebut telah dirampas oleh Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, KKM dengan nilai rampasan RM1,620.

“Bagi produk Xtreme Candy pula, setakat ini, tiada produk tersebut yang ditemui di pasaran Malaysia.

“Tiada maklumat pengilang yang dinyatakan pada label dan bungkusan kedua-dua produk. Bagaimanapun, pemantauan berterusan terutama melibatkan penjualan dalam talian akan diteruskan bagi mengesan produk-produk tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM sentiasa membuat pemantauan berterusan terhadap penjualan dan pengiklanan produk farmaseutikal dalam talian termasuk di platform e-dagang.

Penjualan produk tidak berdaftar dengan KKM adalah melanggar Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan jika disabit bersalah boleh dikenakan hukuman denda di bawah Akta Jualan Dadah 1952, tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama.

Bagi kesalahan berikutnya, denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, bagi makanan yang ditambah dengan bahan terlarang, penyediaan atau penjualan produk tersebut adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 13, Akta Makanan 1983 yang boleh dijatuhi hukuman denda tidak melebih RM100,000.00 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.


Pengarang :