Jenazah bekas pemain dram kumpulan Search Yazit Ahmad, 57, diusung untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudatul Sakinah selepas Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 11.53 pagi di Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Yazit bagaikan keluarga-Search

KUALA LUMPUR, 26 SEPT: “Saya sangat terkesan dengan apa yang dah terjadi kepada dia, penderitaan dia dan kesakitan dia kerana kami bukan lagi hanya sebagai sahabat satu kumpulan, tetapi kami juga sebagai sebuah keluarga.

Begitulah luahan hati pemain bass kumpulan Search, Nasir Daud ketika menyatakan rasa sedih terhadap sahabatnya, Yazit Ahmad, 57, yang menghembuskan nafas terakhir hari ini.

“Apatah lagi (bersedih kerana) saya kenal dia, dan saya berkawan, saya bermain muzik dengan dia sebelum wujudnya Search. Kami bekerja sama-sama dengan satu kelab di Johor Bahru, Search pun belum wujud lagi.

“Saya salah satu daripada kawan dia yang paling lama, jadi selain daripada itu kami membesar dan kami menghabiskan hidup kami lebih lama dengan keluarga Search daripada keluarga sendiri,” katanya ketika ditemui di Masjid Salehuddin Al-Ayyubi, Taman Melati di sini hari ini.

Pemain dram kumpulan Search itu meninggal dunia pada 11.53 pagi ini di Hospital Kuala Lumpur dan sebelum ini mengidap penyakit buah pinggang dan menghadapi masalah kesihatan lain sejak 10 tahun lepas.

Dalam pada itu, Nasir menegaskan, tempat Yazit dalam kumpulan Search tidak pernah diisytihar kosong mahupun digantikan oleh mana-mana ahli muzik yang lain.

“Kami (Search) tidak pernah meletakkan sesuatu keputusan bahawa Yazit disingkir ke, dipecat ke atau tidak berada dalam band ke, umum kena faham, Yazit tidak sihat lagi dan dia tidak dapat lagi memberi sumbangan (tenaga) kepada Search lagi.

“Jadi Search harus bergerak ke hadapan, hidup mesti diteruskan. Sebab tu saya katakan tadi, Search harus bergerak ke hadapan walaupun tanpa Yazit, waktu Yazit lemah, tidak mampu memberi sumbangan tenaga lagi, kami menggunakan pemuzik upahan untuk sesuatu persembahan dan mereka faham, itu tempat Yazit,” katanya.

Selain itu, Nasir turut memberi jaminan, kebajikan keluarga hasil daripada titik peluh Allahyarham Yazit selama ini juga akan terbela dan berharap tiada lagi pihak yang mempersoalkan tindakan kumpulan itu.

“Itu (royalti) sudah pasti, apa yang berkaitan dengan Search yang melibatkan dirinya (Yazit), yang lepas-lepas, imej-imej yang melibatkan imej dia, tetap kita berikan kepada waris dia.

“Contohnya sebelum ni kami dapat habuan daripada pembarangan, kami telah sampaikan duit tu kepada keluarganya, tapi apa yang kami buat, kami tidak akan beritahu kepada umum, buat apa Ini soal dalaman Search, berapa kita bagi, bila kita bagi, harus ke kami nak beritahu kat luar sana,” katanya.

Sementara itu, vokalis utama kumpulan Search, Suhaimi Abdul Rahman turut mengucapkan takziah ke atas pemergian Yazit.

Suhaimi yang lebih dikenali sebagai Amy Search turut memohon maaf apabila tidak dapat menziarahi dan menghadiri majlis pengebumian Allahyarham Yazit kerana beliau kini berada di Jakarta, Indonesia.

Penyanyi rock popular Malaysia itu terikat dengan pekerjaannya sebagai komentator di program Golden Memories Asia untuk siaran Indosiar di Jakarta.

“Saya dengan rendah hati menyampaikan salam takziah di atas kepulangan Yazit ke Rahmatullah hari ini. Semoga segala amalannya sepanjang di dunia diperhitungkan dan roh beliau dicucuri rahmat.

“Saya meminta maaf kerana masih perlu melunaskan tanggungjawab sebagai komentator bagi Golden Memories Asia yang masih akan bersiaran langsung pada malam ini.

“Sekali lagi salam takziah buat seluruh keluarga Yazit. Semoga tabah menghadapi pemergiannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

-BERNAMA


Pengarang :