ADN Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

43 pemilik Taman Mawar Putih bakal terima geran

KUALA SELANGOR, 9 OKT: Seramai 43 pemilik rumah di Taman Mawar Putih di sini mampu menarik nafas lega apabila masalah pemilikan tanah yang membelenggu mereka selama 24 tahun bakal berakhir.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli berkata, mereka bakal menerima geran pemilikan rumah masing-masing pada tahun depan.

Katanya, kesukaran mereka mendapatkan geran rumah selama ini berikutan terdapat pemilik tanah dan pemaju sudah meninggal dunia serta tidak dapat dihubungi.

“Kita sudah mengadakan mesyuarat bersama Pejabat Tanah Kuala Selangor dan Majlis Daerah Kuala Selangor serta wakil penduduk Taman Mawar Putih, semalam.

“Pihak pejabat tanah memberi jaminan kepada saya supaya isu itu boleh diurus dalam tempoh enam bulan namun pecah sempadan perlu dilakukan sebelum proses pindah milik diteruskan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Katanya, selepas proses persempadanan itu selesai urusan pindah milik akan dibuat dan penduduk dapat tinggal di rumah itu tanpa wujud permasalahan lagi.

“Bagaimanapuun, penduduk juga perlu memberikan kerjasama kepada kami dan jabatan terlibat supaya ia dapat memudahkan urusan semua pihak.

“Kita menyasarkan isu ini dapat diselesaikan dalam tempoh enam bulan atau jika kerjasama baik antara semua pihak sasaran mungkin dapat diawalkan,” katanya.


Pengarang :